Thursday, May 10, 2018

Dr M dijadual angkat sumpah 9.30 malam ini


Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh negara pada malam ini, menurut laporan Bernama.

Terdahulu, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Menurut New Straits Times, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor juga akan mengadap Agong bagi membincangkan proses peralihan kuasa.

Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali tiba di Istana Negara petang tadi dengan kereta limusin Proton Perdana berwarna hitam metalik dengan nombor plat "Proton 2020".

Ia melambangkan visi Mahathir - ketika menjadi perdana menteri untuk kali pertama - untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Namun selepas "berpatah arang" dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak, presiden Umno itu membentangkan visinya sendiri iaitu Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Selain isterinya, Mahathir juga ditemani pemimpin parti HARAPAN iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-