Monday, May 21, 2018

Dr Wan Azizah sah TPM wanita pertama

MyMetro
Utama

DR Wan Azizah mengetuai barisan 13 anggota Kabinet mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia. FOTO Twitter Bernama
BERNAMA

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai barisan 13 anggota Kabinet mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, hari ini.

Istiadat itu yang berlangsung di Singgahsana Kecil turut disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Istiadat berkenaan bermula pada 5.45 petang dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Dr Wan Azizah, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Beliau adalah Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama di negara ini.

Dr Wan Azizah melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Turut mengangkat sumpah berkenaan ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Anggota Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Pendidikan, Anggota Parlimen Titiwangsa Rina Mohd Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar), Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi), Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke (Menteri Pengangkutan).

Turut mengangkat sumpah ialah Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran (Menteri Tenaga Manusia), Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).

Mereka masing-masing turut menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Raus dan Ali.

Istiadat itu berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada 10 Mei lalu, Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, sehari selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan tamatnya pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional.

Dr Mahathir dijangka menamakan anggota Kabinet yang seterusnya secara berperingkat.

Selepas istiadat itu, Dr Mahathir dan anggota Kabinet dijadual menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama Yang di-Pertuan Agong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 6:32 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-