Friday, May 11, 2018

Hadi: PAS tak pernah menyesal tak bersama HARAPAN

Shakira Buang
Diterbitkan 11 Mei 2018, 6:57 pagi 


PAS tidak pernah menyesal meninggalkan pakatan pembangkang yang kini telah berjaya membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU) Rabu lalu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ini kerana PAS telah melalui pelbagai ranjau politik hingga membolehkan parti Islam itu kekal sendiri.

“Kita tidak pernah menyesal (kerana sebelum ini) kita pernah berada dalam kerajaan, pernah juga dipecat oleh kerajaan.

“Kita pernah laluinya semua, kita juga pernah kalah dan kita juga pernah menang.

“Jatuh bangun dalam politik ini biasa dan sentiasa berubah, kawan jadi musuh, musuh jadi kawan dan sebab itu kita tidak boleh berkawan hingga melebihi batas dan tak boleh bermusuh hingga melampaui batas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai majlis istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah menteri besar baru Terengganu serta barisan exconya di Istana Syarqiyyah, Terengganu, malam tadi.

Terdahulu Abdul Hadi diminta mengulas apakah PAS menyesal kerana tidak lagi bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas gabungan itu berjaya membentuk kerajaan dan sekali gus merampas Putrajaya.

Pada PRU14, HARAPAN mencipta sejarah apabila menawan Putrajaya selepas menang 122 daripada 222 kerusi Parlimen.

Ia kali pertama BN (dahulunya Perikatan) ditumbangkan dalam pilihan raya sejak kemerdekaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Abdul Hadi turut mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan itu agar tidak mengulangi tindakan kerajaan BN yang menganaktirikan Kelantan dan Terengganu dalam soal peruntukan pusat.

“Ia ada dalam perlembagaan dan kerajaan pusat harus menghormati konsep federalisme dalam perlembagaan, perjanjian sudah ada dan selama ini mereka tak hormati perlembagaan ini, kita mengharap ia tidak akan berulang.

“Seperti rampasan royalti, campur tangan urusan kerajaan negeri,” katanya mengulas pandangan bahawa PAS perlu kerjasama dengan Pakatan Harapan bagi membolehkan peruntukan kepada kerajaan negeri yang dikuasai PAS terus disalurkan tanpa sebarang diskriminasi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-