Monday, May 21, 2018

Kerajaan tubuh pasukan khas siasat kes 1MDB

MyMetro
Utama
Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@nstp.com.my
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap di perhimpunan pertama bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

KERAJAAN menubuhkan Pasukan Khas Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri hari ini memaklumkan, pasukan khas berkenaan ditubuhkan selepas dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pasukan khas itu akan diketuai bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid bin Bador.

"Keanggotaan pasukan ini akan terdiri daripada SPRM, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan beberapa peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

"Pasukan khas ini akan bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca dari salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pasukan khas itu juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kerjasama dengan pelbagai pihak agensi penguatkuasaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan.

"Kerajaan berharap penubuhan pasukan khas ini dengan pembabitan pelbagai agensi penguatkuasaan akan berupaya mengembalikan maruah negara yang tercemar selama ini, selain mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia berikutan skandal kleptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 2:45 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-