Tuesday, May 8, 2018

Masih tiada tindakan diambil terhadap Rais - Ku Nan




PRU14 l Masih tiada tindakan diambil oleh Umno terhadap anggotanya Tan Sri Dr Rais Yatim meskipun beliau berada di atas pentas ceramah gabungan Pakatan Harapan kelmarin.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ini kerana pihaknya masih menunggu laporan daripada nazir yang ditugaskan parti bagi memantau tindak-tanduk setiap ahli.

"Umno merupakan satu parti berstruktur, kita siasat dahulu sebelum membuat keputusan.

"Beliau masih lagi ahli Umno dan parti masih belum mengambil sebarang tindakan terhadapnya kerana masih tidak melanggar batas," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan nur Ramadan kepada surau-surau Putrajaya di Surau Jumaat Mahmoodiah, Presint 18 malam tadi.

Rais semalam, muncul di majlis ceramah pakatan pembangkang di kawasan majoriti Cina di Titi, Negeri Sembilan, namun tidak memberikan sebarang ucapan.

Tengku Adnan yang juga penyandang kerusi parlimen Putrajaya berkata sumbangan yang diberikan pada malam tadi merupakan amalan beliau sejak 17 tahun lalu.

"Saya akan beri bantuan kewangan dan bahan keperluan untuk semua 63 surau di Putrajaya supaya mereka dapat menjalankan program moreh selepas selesai mengerjakan terawih di bulan Ramadan.

"Ini telah saya lakukan sejak 17 tahun lalu dan janganlah ada orang kata saya bagi dedak... dedak untuk binatang... ini keluarga saya kampung saya dan sebagai ketua kampung ini amalan saya, " katanya.

Tengku Adnan dalam pada itu mendakwa pihak pembangkang akan terus melakukan pelbagai onar untuk menarik perhatian pengundi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Rabu ini.

"Mereka akan buat segala-galanya dan mereka dah tahu nak kalah mereka akan buat macam-macam onarlah," katanya.

Beliau mengulas mengenai dakwaan melibatkan beberapa isu termasuk berlaku pengiraan terhadap undi awal di beberapa bahagian pilihan raya dan kertas undi pos disapu lilin.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-