Saturday, May 26, 2018

MP mahu kes Altantuya dibuka semula

Diterbitkan 26 Mei 2018, 12:44 tengah hari

Satu laporan polis dibuat bagi menggesa pihak berkuasa membuka semula siasatan berhubung kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dalam laporan polis yang dibuatnya hari ini Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng meminta polis menyiasat motif di sebalik pembunuhan berprofil tinggi itu.

Selain itu Lim juga mahu polis menyiasat pihak yang bertanggungjawab mengarahkan dua bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar serta Azilah Hadri, membunuh Altantuya.

Dalam aduan dibuat di Balai Polis Jinjang itu Lim juga memberitahu Sirul kini bersedia memberikan keterangan mengenai apa sebenarnya yang berlaku sehingga membawa kepada pembunuhan berkenaan.

"Orang yang mengarahkan pembunuhan Altantuya perlu didakwa di mahkamah dengan pertuduhan jenayah bersubahat," katanya.

Altantuya ialah wanita yang tidak dikenali ramai sehinggalah pembunuhannya dibongkar pihak berkuasa pada Okt 2006.

Kes itu menarik perhatian ramai kerana dilakukan anggota keselamatan, menggunakan bahan letupan C4 yang tidak boleh diperolehi mudah, serta membabitkan orang yang dekat dengan Datuk Seri Najib Razak.

Sirul Azhar dan Azilah dituduh - dan disabitkan bersalah - dalam pembunuhan pada 18 Okt berkenaan. Bagaimanapun mahkamah tinggi dan persekutuan tidak memutuskan siapa bertanggungjawab mengeluarkan arahan kepada kedua-dua tertuduh.

Motif pembunuhan juga tidak diperkatakan semasa perbicaraan berlangsung.

Mahu Arul Kanda disiasat juga

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam berkata kes itu boleh dibuka semula jika pihak berkuasa mendapat petunjuk baru.

Minggu lalu pula Presiden Mongolia Khaltmaagiin Battulga menggesa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membantu keluarga Altantuya mendapat keadilan sewajarnya.

Kedua-dua tertuduh didapati bersalah dan dihukum mati. Azilah kini dipenjara sementara menunggu pelaksanaan hukuman manakala Sirul Azhar melarikan diri dari Malaysia dan kini berada di Pusat Tahanan Imigresen Australia.

Sementara itu Lim juga membuat laporan polis ke atas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy kerana didakwa memberi keterangan palsu berhubung syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

Kata Lim sebelum ini Arul Kanda berulang kali memberi jaminan 1MDB tidak akan muflis dan mampu melunaskan hutangnya melalui proses rasionalisasi.

"Arul telah memberi maklumat palsu walaupun mengetahui terdapat asas untuk mempercayai bahawa kesalahan pecah amanah dan penyelewengan telah dilakukan oleh bekas anggota 1MDB," katanya.

Lim mendakwa, ramai menteri dan pegawai tinggi kerajaan serta agensi penguat kuasa terbabit dalam usaha menutup skandal 1MDB sehinggalah 9 Mei lalu.

"Saya percaya mereka dan Arul telah melanggar Seksyen 202 dan 203 Kanun Keseksaan, Seksyen 592 Akta Syarikat 2016 dan jenayah lain," katanya.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-