Thursday, May 10, 2018

Najib: Hanya Agong berkuasa lantik PM ke-7

Oleh LYN NASIR 
Foto RABBANI JAMIAN

Istana Negara (foto fail)

10 MEI: Keputusan pelantikan Perdana Menteri ke-7 Malaysia terletak di tangan Yang di Pertuan Agong susulan tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan.

Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, berdasarkan prosedur, ia dibuat selepas mendapat perkenan Istana Negara serta berasaskan sokongan yang diperolehi dalam Dewan Rakyat.

“Oleh kerana tidak ada majoriti mudah, Yang Dipertuan Agong akan membuat keputusan siapa bakal dilantik sebagai perdana menteri,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Khamis.

Dalam keputusan diumum awal pagi tadi, PRU14 memperlihatkan Pakatan Harapan memenangi majoriti kerusi-kerusi Parlimen namun gabungan tidak berdaftar itu merangkumi PKR, DAP, PPBM dan PAN.

Di Semenanjung, calon-calon empat parti itu bertanding di atas tiket PKR manakala DAP menggunakan logonya sendiri di Sabah dan Sarawak.

Najib dalam masa yang sama turut menegaskan beliau dan rakan-rakannya menerima keputusan rakyat pada PRU 14 yang tidak memihak kepada partinya.

“Saya terima keputusan dan BN adalah komited kepada prinsip-prinsip demokrasi berpelembagaan.” katanya.
Najib berkata pihaknya memberi kepercayaan penuh dan akan akur kepada sebarang keputusan yang bakal diambil oleh baginda.

Pada PRU kali ini, PKR memenangi 104 kerusi parlimen manakala sekutunya iaitu Warisan menawan sembilan kerusi dan DAP di Sabah dan Sarawak memperolehi sembilan kerusi.

BN memenangi 79 kerusi parlimen, manakala PAS meraih 18, manakala ‪Parti Solidariti Tanah Airku di Sabah (1) dan calon bebas tiga kerusi.

Keputusan itu sekaligus bermakna buat pertama kali dalam sejarah negara, BN gagal memperolehi majoriti yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-