Saturday, May 26, 2018

Najib: Tak betul sebut kerajaan 'bail out' 1MDB


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyangkal pendedahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa 1MDB menerima hampir RM7 bilion dalam bentuk "bail out" (suntikan dana) daripada kerajaan BN sebelum ini.

"Bukan sahaja ini mengelirukan, ia merupakan percubaan bermotifkan politik untuk mengaburkan fakta-fakta," dakwa Najib yang juga bekas menteri kewangan.

Menurut bekas presiden Umno itu juga, beliau mengikuti cadangan Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB untuk memindahkan kesemua aset hartanah 1MDB ke syarikat lain yang dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

"Semua aset harta tanah bernilai dan strategik 1MDB telah dipindahkan ke syarikat lain yang dimiliki oleh MOF Inc," dakwa Najib dalam hantaran di Facebook malam ini.

Menurut Najib, MOF Inc memang perlu membayar hutang 1MDB tetapi dapat mengambil alih asetnya.
"Untuk memenuhi kewajipannya, MOF boleh menggunakan pelbagai kaedah, termasuk penjualan tanah (contohnya kepada Bank Negara Malaysia) atau dengan mengutip pembayaran hutang (contohnya dari Khazanah).

"Tidak ada apa-apa yang salah dengan urus niaga tersebut," maklum Najib lagi dalam tulisan berbahasa Inggeris berjudul, "Wrong to call it a bail out of 1MDB."

Beliau juga berkata tidak timbul persoalan MOF atau BNM atau Khazanah 'bail out' 1MDB.

"Ia sebenarnya benar-benar mengelirukan untuk membuat dakwaan sedemikian.

"Oleh itu, adalah salah bagi Menteri Kewangan hanya menonjolkan hutang 1MDB," dakwa Najib lagi.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 22 Mei lalu mendedahkan bahawa 1MDB menerima hampir RM7 bilion dalam bentuk "bailout" daripada kerajaan BN sebelum ini.

Lim berkata ini bertentangan dengan dakwaan 1MDB bahawa syarikat itu mampu membayar hutangnya daripada penstrukturan semula.

"Berdasarkan senarai bayaran oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi pihak 1MDB adalah berjumlah RM6.98 bilion.

"Jumlah ini termasuk bayaran yang dibuat kepada IPIC sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian berjumlah RM5.05 bilion.

“Ini mengesahkan syak wasangka orang ramai bahawa 1MDB sebenarnya memperdaya rakyat Malaysia dengan mendakwa hutang itu dibayar menerusi ‘proses rasionalisasi yang berjaya’.

“Selama ini MOF yang membayar hutang 1MDB,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-