Monday, May 28, 2018

Najib tarik balik saman terhadap Tony Pua, pemilik portal berhubung 1MDB

Bernama 
May 28, 2018

Peguam wakili Najib beritahu pemberita, anak guamnya mengarahkan beliau menarik balik saman itu dan Najib bersetuju gugurkan tindakan undang-undang.
Hakim juga membenarkan permohonan untuk menarik balik saman itu dan membatalkan tindakan undang-undang.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong berhubung isu 1MDB.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib memberitahu pemberita, anak guamnya mengarahkan beliau menarik balik saman itu dan Najib bersetuju menggugurkan tindakan undang-undang dengan syarat yang tidak didedahkan.

“Peguam defendan juga bersetuju dengan permohonan penarikan balik saman ini tanpa kebebasan untuk memfailkan semula,” katanya selepas sebutan kes itu di kamar Hakim Mahkamah Tinggi Zaidi Ibrahim.

Mohd Hafarizam berkata hakim juga membenarkan permohonan untuk menarik balik saman itu dan membatalkan tindakan undang-undang.

Peguam Michelle Ng yang mewakili Pua dan peguam Shahid Adli Kamarudin yang mewakili Chan mengesahkan perkara itu. Sebelum ini Mahkamah Tinggi menetapkan 18 hingga 20 September untuk mendengar saman tersebut.

Pada 21 April 2017, Najib atas kapasiti peribadinya, menyaman Pua pada 5 Mac 2015, menamakan Pua sebagai defendan pertama dan Chan defendan ke-2, berhubung isu 1MDB.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib sebagai plaintif menyatakan pada 13 November 2014, Pua selaku penceramah utama dalam majlis makan malam kutipan dana DAP membuat kenyataan fitnah terhadap 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa rakaman ucapan itu dimuat naik oleh Chan sendiri dan/atau ejennya di You Tube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

Katanya rakaman ucapan itu mengandungi perkataan-perkataan merujuk dan berkaitan dengannya yang memfitnahnya dan individu yang dikenali sebagai “Prime Minister” dalam perkataan-perkataan fitnah itu semestinya merujuk secara spesifik kepadanya (Najib).

Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu merosakkan reputasinya yang akan berterusan selama bertahun-tahun lamanya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.

Ini adalah penarikan ke-2 oleh Najib, selepas beliau pada 22 Mei lepas menarik balik samannya terhadap bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik berhubung penerbitan artikel dalam portal berita yang mendakwa bekas perdana menteri itu menyalahgunakan dana milik 1MDB.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-