Thursday, May 10, 2018

Najib terima keputusan rakyat

FMT Reporters
May 10, 2018

Najib berkata, kemenangan pembangkang adalah bukti dan manifestasi prinsip dan amalan demokrasi hidup di negara ini walaupun didakwa sebaliknya.
Datuk Ser Najib Razak berkata banyak sumbangan kerajaan kepada rakyat tetapi rakyat lebih berminat tawaran dan janji pihak lawan. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Perdana Menteri dan pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau dan kepimpinan BN menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat dalam pilihan raya umum semalam kerana ia komited dan menghormati prinsip dan amalan demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.

“Saya terima keputusan rakyat,” katanya dalam kenyataan pertama beliau setelah kerajaan pimpinannya mengalami kekalahan paling mengejut dalam sejarah negara sehingga gagal membentuk kerajaan di tangan pakatan pembangkang yang diketuai bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib yang diapit Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Zahid Hamidi dan menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kekalahan besar BN dalam pertembungan sengit pilihan raya umum ke-14 kali ini juga manifestasi amalan dan prinsip demokrasi.

Katanya kekalahan BN juga menolak dakwaan penipuan dalam pilihan raya dan tuduhan beliau mahu “merampas” kemenangan pembangkang itu dengan mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengisytiharkan darurat.

“Dikatakan MKN bermesyuarat pukul 10.00 malam tadi, sebenarnya tidak ada, dan tidak ada pun arahan untuk memanggil MKN,” kata beliau.

Beliau berkata walaupun kerajaan lakukan banyak perkara untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara sehingga mendapat pengiktirafan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, tetapi ia kurang menarik rakyat yang lebih berminat tawaran dan janji pihak lawan seperti terkandung dalam manifesto dan ucapan pemimpinnya.

Najib berkata, oleh sebab tiada sebuah parti yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan, maka terserah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih bakal perdana menteri yang difikirkan sesuai.

“Mengikut perlembagaan lantikan ini adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan prinsip siapakah yang akan mendapat kepercayaan dalam kalangan ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, BN akan menghormati apa jua keputusan dibuat oleh baginda.

Sehubungan itu, beliau meminta semua rakyat berada dalam keadaan tenang dan memberi kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kebijaksanaan baginda membuat keputusan sebaik mungkin.

Najib berkata, walaupun akan berlaku perubahan berikutan keputusan pilihan raya semalam, beliau komited bagi menentukan keputusan terbaik berpandukan kepentingan rakyat dan negara.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat dan komponen BN atas sokongan yang diberikan kepadanya dalam memimpin kerajaan selama ini.

“Malaysia adalah negara teristimewa dan saya berasa amat bertuah diberi peluang memimpinnya,” kata beliau.

Najib yang menang di kerusi Parlimen Pekan dengan majoriti lebih kecil menyaksikan gabungan politik pimpinannya hanya memenangi 79 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingan.

BN hanya berjaya mengekalkan negeri Perlis dan Pahang, dan tewas di negeri lain. Bagi negeri Kedah, Perak dan Sabah, kerajaan negeri belum dapat dibentuk kerana tiada satu parti yang mendapat majoriti mudah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-