Thursday, May 10, 2018

Pas perlu buat keputusan terbaik untuk bentuk kerajaan di Perak

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
10 Mei 2018 8:46 PM
Shaarani Mohamad

IPOH - Barisan Nasional (BN) berharap Pas dapat membuat keputusan yang terbaik dalam usaha untuk menggabungkan kedua-dua buah parti itu bagi membentuk kerajaan campuran untuk mentadbir Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Pengerusi BN Perak, Datuk Shaarani Mohamad berkata, BN bagaimanapun tidak memaksa Pas untuk membuat sebarang kata putus bagi membentuk kerajaan.

Jelasnya, perbincangan antara BN bersama Pas dijalankan secara berperingkat dan ia melibatkan Majlis Tertinggi kedua-dua parti untuk mendapat restu pucuk pimpinan berikutan ia melibatkan polisi parti masing-masing.

“Setakat ini, perbincangan diadakan secara positif namun, masih belum memperoleh keputusan tepat.

“Kita perlu mengambil kira keperluan, untung, rugi dan masa depan parti. Paling penting dengan penggabungan ini, kebajikan rakyat di Perak dapat dijaga,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, pada PRU-14, Pakatan Harapan memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala, BN 27 kerusi dan Pas memperoleh tiga kerusi.

Dalam pada itu, menurut Shaarani, melalui perbincangan itu, BN tidak mempunyai sebarang tawaran istimewa melainkan rundingan berdasarkan kepercayaan apabila dapat menubuhkan kerajaan di Perak.

“Kita berharap Pas dapat bekerjasama dengan BN dengan bertujuan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Perak.

“Selain itu, kita juga berharap rundingan untuk menubuhkan kerajaan negeri ini dapat diselesaikan dengan segera dan ia perlu dilaksanakan dalam tempoh terdekat sebelum memasuki bulan Ramadan yang dijangka Rabu depan,” katanya.

 - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-