Friday, May 18, 2018

Peguam: Jadikan bekas polis saksi utama kes bunuh Altantuya

ADVERTISE WITH US

V Anbalagan
May 18, 2018

Gurbachan Singh berkata, Lembaga Pengampunan Selangor perlu memberi pengampunan kepada Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri bagi membolehkan mereka bekerjasama dengan pendakwa.

PETALING JAYA: Seorang peguam kanan jenayah mencadangkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas 2 bekas polis digantikan dengan hukuman penjara untuk mereka menjadi saksi utama dalam kes bunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bercakap kepada FMT, Gurbachan Singh berkata, pihak pendakwaan boleh membuka semula kes tersebut untuk menghukum “tangan ghaib” yang bertanggungjawab ke atas jenayah lain, termasuk membunuh dan bersubahat.

“Tetapi, Lembaga Pengampunan Selangor terlebih dahulu perlu memberi pengampunan bagi membolehkan mereka bekerjasama dengan pendakwa untuk menegakkan keadilan bagi keluarga Altantuya,” katanya merujuk bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.

Merujuk kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Sirul dibicarakan semula, peguam itu berkata, tertuduh yang didapati bersalah tidak boleh dibicarakan semula atas jenayah sama.

Sirul yang melarikan diri dari Malaysia selepas dijatuhi hukuman mati pada 2009 kerana membunuh Altantuya, kini dalam tahanan Australia. Beliau sebelum ini mendakwa diarahkan “orang penting” untuk membunuh Altantuya pada 2006.

Kerajaan Australia enggan mengekstradisi beliau ke Malaysia kerana ia bertentangan dasar negara itu yang membantah hukuman mati ke atas pesalah jenayah berat.

Azilah pula sedang menanti hukuman mati ke atasnya di Penjara Kajang sementara menunggu keputusan Lembaga Pengampunan menukar hukuman itu kepada hukuman penjara.

Altantuya ialah kekasih Abdul Razak Baginda – bekas rakan karib Datuk Seri Najib Razak – yang dituduh menguruskan “komisen” atas pembelian kapal selam buatan Perancis pada 2002.

Abdul Razak yang dikatakan bersubahat dalam jenayah itu dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. Kerajaan tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Sirul dan Azilah pada mulanya dibebaskan Mahkamah Rayuan pada 2013, memaksa kerajaan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan mereka dan mengekalkan keputusan asal Mahkamah Tinggi.

Gurbachan berkata, polis juga perlu menyiasat peranan dimainkan DSP Musa Safri, bekas pengiring Najib yang tidak dipanggil memberi keterangan.

Hakim Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya berpandangan keterangannya tidak dapat membantu pembelaan Azilah dan Sirul.

Dalam penghakiman setebal 88 halaman, Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar berkata: “Ia (keterangan Musa) hanya berguna kepada Abdul Razak Baginda. Ia hanya mengesahkan keterangan sepupu dan rakan Altantuya yang beliau mempunyai hubungan dengan si mati.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-