Saturday, May 12, 2018

Perak sudah ada MB baru

Diterbitkan 12 Mei 2018, 7:18 petang


Selepas mengalami ketidaktentuan beberapa hari Pengerusi BERSATU Perak Ahmad Faizal Azumu secara rasmi menjadi menteri besar di negeri itu hari ini.

Ahmad Faizal mengangkat sumpah jawatan di depan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Ia berlangsung kira-kira jam 6.15 petang selepas Sultan Nazrin berpuas hati bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) mempunyai majoriti ahli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Dengan pelantikan itu juga cita-cita PAS yang mengusulkan pembentukan kerajaan perpaduan - dan tanpa pembangkang - berkecai.

DUN Perak berdepan kebuntuan apabila tiada mana-mana parti memperolehi majoriti mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.

Hasil pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu BN memperoleh 27 kerusi manakala HARAPAN 29. Pada masa sama PAS memiliki 3 kerusi.

BN cuba membentuk kerajaan bersama PAS namun parti itu menawarkan penyelesaian tersendiri hasil perbincangan peringkat tertinggi parti berkenaan di Marang, Terengganu.

Walaupun mempunyai tiga PAS meletakkan tiga syarat untuk menyertai kerajaan tanpa pembangkang itu. Antaranya menteri besar mesti beragama Islam dan mendapat sokongan majoriti ADUN beragama Islam.

Bagaimanapun HARAPAN mendapat majoriti yang diperlukan selepas dua ADUN BN memberikan sokongan kepada gabungan berkenaan.

Tiada mana-mana pihak mahu mendedahkan identiti ADUN yang menyertai HARAPAN namun memetik sumber The Star Online mendakwa mereka ialah Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Nolee Ashilin memenangi kerusi DUN Tualang Sekah manakala Zainol Fadzi Sungai Manik.

Kedua-dua mereka ialah bekas exco dalam kerajaan sebelum ini.

Turut hadir di majlis mengangkat sumpah itu ialah Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-