Tuesday, May 15, 2018

Permohonan bekas ADUN Behrang sertai PPBM ditolak

Khairul Abidin Nuar

15 Mei 2018 12:40 PM

KETUA Penerangan PKR Perak, Senator Siti Aishah Shaik Ismail menunjukkan kenyataan akhbar Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini.
 - UTUSAN ONLINE/ZULKARNAIN SAIDIN

IPOH 15 Mei - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi yang dikaitkan dengan pengkhianatan kepada kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak pada tahun 2008, telah ditolak permohonannya untuk menyertai PPBM tanpa rundingan.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu yang juga Ketua Pakatan Harapan Perak berkata, keputusan itu diambil berdasarkan prinsip bahawa setiap kemasukan individu ke dalam Pakatan Harapan akan dipertimbang dengan tegas supaya segala episod duka rakyat tidak berulang.

“Saya selaku Pengerusi PPBM Perak ingin memaklumkan bahawa saya telah hadir ke satu majlis dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin semalam di Hotel Kinta Riverfront.

“Kehadiran saya tidak lain hanya untuk menerima kemasukan beliau serta meraikan penyertaan yang lain sebagai tanda sokongan kepada PPBM peringkat negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Ketua Penerangan Keadilan Perak, Senator Siti Aishah Shaik Ismail dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Pejabat PKR negeri di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata demikian bagi menjelaskan kehadiran Jamaluddin pada majlis semalam yang hanya disedari beliau selepas sesi sidang akhbar.

Sementara itu, Siti Aishah berkata, Ahmad Faizal meraikan penyertaan mana-mana pihak tetapi tapisan akan dibuat dengan merujuk kepada Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Perak.

Selain itu tegasnya, penyertaan mana-mana individu tidak menjadi asas kepada sebarang bentuk penawaran jawatan mahupun tempat dalam setiap posisi pentadbiran politik di negeri ini. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-