Tuesday, May 8, 2018

Sambutan terhadap calon BN amat luar biasa

Timbalan Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bagan Datuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan amanatnya pada Program Gempur Hutan Melintang malam ini. - Foto Bernama

BAGAN DATUK -  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sambutan rakyat terhadap calon BN pada PRU14 amat luar biasa.

Timbalan Pengerusi BN itu yang juga berkempen untuk calon BN di kawasan parlimen lain berkata sambutan rakyat kepada calon-calon BN meningkat dengan luar biasa berbanding PRU12 dan PRU13.

“Dari Perlis hingga ke Johor, kita lihat ada gelombang untuk memberikan sokongan besar kepada BN. Kita lihat di Pantai Timur akan ada perubahan. Perubahan positif ini dapat dirasakan.

“Apa yang kita lihat ini (sambutan luar biasa) telah merisaukan pihak lawan. Maka mereka menggunakan pelbagai taktik termasuk kejutan serangan saat akhir kepada BN khususnya tertumpu kepada perdana menteri.

“Saya berharap ia dapat diterjemahkan kepada undi pada 9 Mei nanti,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Sebelum itu, Ahmad Zahid melancarkan Program Back2School: Pelestarian Kebun” di Sekolah Kebangsaan Sg Nipah di sini.

Beliau berkata sambutan rakyat di Sabah dan Sarawak, termasuk di kawasan pedalaman juga memberangsangkan.

“Saya yakin menyatakan ini kerana saya melihat dengan mata kepala saya sendiri terhadap sambutan ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berada di Sabah juga melihat sambutan yang menggalakkan ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata walaupun di media sosial telah memperlihatkan seolah-olah kemenangan berpihak kepada pembangkang tetapi realitinya majoriti senyap adalah bersama BN.

“Ketularan di media sosial adalah kerana program dan perhimpunan (pembangkang) tertumpu di kawasan bandar tetapi kita tahu 70 peratus kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen ada di luar bandar.

Ahmad Zahid menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya para pengundi jangan percaya dengan berita palsu, berita tidak benar dan kempen-kempen perang saraf pembangkang yang kini kehilangan punca.

“Saya berharap apabila (berlaku) penolakan kepada mereka (pembangkang), kita harus istiqamah dan yakin dengan pegangan kita untuk memberi dukungan kepada semua calon BN. Ini harus diteruskan sehingga tamat 5 petang pada Hari Pengundian 9 Mei,” katanya.

Pada majlis pelancaran Program Back2School:Pelestarian Kebun anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, seramai 60 pelajar menjadi ahli perintis kelab yang ditubuhkan di sekolah-sekolah sekitar sini.

Pelajar-pelajar akan diberi pendedahan penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar, terutama hutan bakau yang banyak terdapat di daerah ini.

Sebanyak 20 sekolah dikenal pasti akan mengambil bahagian di bawah program itu yang dilaksanakan dari Jun 2017 hingga Mei 2019.

 - Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-