Wednesday, May 2, 2018

Teluk Intan condong arah mana kali ini?

Kow Gah Chie
Diterbitkan 2 Mei 2018


PRU14 l  Teluk Intan sinomin dengan Menara Condong yang menjadi tarikan pelancong di pekan kecil itu.

Menara ini dibina pada tahun tahun 1892 dan berfungsi sebagai tangki simpanan air untuk bekalan penduduk sekitar di samping berfungsi sebagai jam.

Akibat didirikan di atas struktur tanah yang lembut di samping terdapat bebanan tangki yang menakung air, bangunan itu kemudiannya didapati condong sedikit ke arah barat laut.

Pada masa ini, menara ini tidak lagi berfungsi sebagai tangki simpanan air namun jam berkenaan masih lagi berfungsi dan akan berbunyi setiap 15 minit.

Dari segi politik, penduduk sekitar pula kerap kali berubah kecondongan mereka terhadap pembangkang mahupun kerajaan.

Sejak 1986, Teluk Intan telah bertukar tangan antara Gerakan dan DAP sebanyak empat kali - dua kali dalam pilihan raya kecil.

Pada 1997 apabila pilihan raya kecil diadakan, DAP menang tetapi kehilangan Teluk Intan pada pilihan raya umum 1999.

Perubahan sekali lagi pada tahun 2014, dengan Gerakan merampas semula kerusi itu dari DAP.

Pilihan raya umum 9 Mei ini, mungkin menyaksikan satu pertarungan paling menarik, dengan presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong mempertahankan kerusinya dengan berdepan dengan pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud dari PAS.

Nga, yang popular di kalangan orang Cina di seluruh negara, mungkin akan memberi Mah satu tentangan yang sengit.

Tinjauan pendapat penduduk Teluk Intan sebelum kempen pilihan raya, menunjukkan ramai pengundi berbelah bagi untuk mengundi siapa kali ini.

Pengundi kali pertama, yang hanya ingin dikenali sebagai "Puan Lee", berkata beliau dan kawan-kawannya menganggap ia adalah pilihan antara "pembangunan tempatan" dan "mengubah kerajaan persekutuan".

"Kumpulan kami telah membincangkannya. Ada yang mengatakan kita perlu sekali lagi menyokong Mah, kerana dia akan membawa pembangunan," katanya kepada Malaysiakini.

Manakala yang lainnya, tambahnya, berkata mereka harus mengundi untuk (mengubah) masa depan negara.

Beliau menjelaskan bahawa bandar Teluk Intan sering dilanda banjir besar kerana bandar itu yang terletak di sepanjang Sungai Perak. Ramai penduduk bandar mengiktiraf Mah bagi kerja-kerja mitigasi banjir di kawasan itu.

Hakikatnya ialah Mah dilihat tetap berusaha untuk menyelesaikan masalah tempatan di Teluk Intan, walaupun kalah dalam pilihan raya 2008 dan 2013, terus disenangi setempat.

Fengshui master, Chong Ah Chay, 53, berkata beliau akan mengundi Mah, supaya dia dapat terus berkhidmat kepada kawasan itu.

"Apabila kita mempunyai pemimpin yang korup, saya mahu perubahan kerajaan, tetapi bolehkah (Pakatan Harapan) melakukannya? Oleh kerana mereka tidak boleh, mengapa tidak kita teruskan kehidupan bahagia kita di sini?,

Bagi Ah Chay, Mah telah memberi perkhidmatan yang baik.

"Mengapa saya tidak mengundinya demi Teluk Intan? Dia sentiasa bersama kami, tidak seperti DAP yang terus menukar calonnya di Teluk Intan," kata Chong.

Sentimen sedemikian mungkin mengapa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan bahawa partinya akan menamakan Nga sebagai menteri kabinet sekiranya dia menang di Teluk Intan dan jika HARAPAN membentuk kerajaan persekutuan.

Ini dilihat secara meluas sebagai satu langkah untuk membendung kebimbangan pengundi jika menolak Mah maka mereka tidak ada lagi seorang menteri kabinet di situ.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru Mah mengakui bahawa dia sekali lagi berdepan pertarungan sengit untuk mempertahankan Teluk Intan, tetapi tetap berkeyakinan kerana dia telah mengotai janji-janjinya.

Sebagai contoh, pembinaan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang dijanjikannya pada 2014, sedang berjalan dengan baik. Ia dijadual siap pada penghujung tahun 2019.

Kemudian, terdapat ban berteknologi tinggi untuk melindungi hakisan di sepanjang tebing Sungai Perak, yang bertujuan menghalang sebahagian daripada bandar itu menjadi pulau.

Beliau berkata penduduk setempat juga bersemangat menunggu siapnya menamatkan Lebuhraya Pantai Barat, yang akan mengurangkan masa perjalanan ke Ipoh dan Pulau Pinang.

Bagi industri pula, Mah telah memulakan rancangan untuk mempelbagaikan hasil pertanian di kawasan itu, di mana 60 peratus tanah kini digunakan untuk ladang kelapa sawit.

Tetapi semua ini, tambahnya, mungkin tidak mencukupi untuk meyakinkan para pengundi untuk menyokongnya

Beliau menyifatkannya sebagai satu pertarungan yang sengit dan menurutnya, kawasan pilihan raya yang mempunyai kurang daripada 50 peratus pengundi Melayu sukar bagi BN untuk menang.

Menurut daftar pemilihan bagi pilihan raya 9 Mei, Teluk Intan mempunyai 40.7 peratus pengundi Melayu, diikuti oleh Cina (40.1 peratus) dan India (18.64 peratus).

Terdapat tanda-tanda berlaku perubahan undi yang tidak menentu semasa pilihan raya umum 2013 dan pilihan raya kecil 2014, menjadikan pertarungan kali ini boleh memihak kepada sesiapa saja.

Namun Nga (bawah) juga bukan terlalu asing dengan penduduk tempatan kerana beliau pernah menjadi ketua pembangkang di DUN Perak.
Nga berkata bahawa rakyat Teluk Intan tidak perlu risau diabaikan dari segi pembangunan fizikal dan ekonomi kerana projek yang sedang berjalan pasti akan diteruskan, tidak kira sama ada Mah menang atau tidak.

"Jangan risau, kami akan meneruskan projek pembangunan atau projek yang sedang dalam perancangan. Dan saya akan menjadi lebih baik daripada beliau," kata Nga, yang pernah menganggotai barisan exco kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir sekejap selepas pilihan raya 2008.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-