Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, May 11, 2018

UMNO-BN perlu bangkit kembali- KJ

Oleh LYN NASIR

“Sekarang bermulalah tugas yang sangat berat, iaitu tugas untuk membina semula parti keramat.

11 MEI: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta semua ahli bangkit membina semula parti susulan kekecewan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menyedari bahawa ia bukanlah suatu keadaan yang diinginkan, Ahli Parlimen Rembau itu mengingatkan semua ahli supaya tidak perlu bersedih, sebaliknya terus bangkit menjadikan UMNO kembali sebagai sebuah parti keramat untuk rakyat.

“Saya mahu UMNO kembali menjadi parti yang menjaga maruah orang Melayu, yang menjaga kemakmuran bersama kaum-kaum yang lain serta yang benar-benar berjuang untuk semua lapisan masyarakat.

“Saya mengajak rakan-rakan yang ingin membina semula UMNO daripada keruntuhan yang kita lihat hari ini, untuk bersama-sama dengan saya kerana perubahan ini mesti bermula dengan serta-merta,” katanya dalam satu perutusan sempena Ulangtahun UMNO ke-72 hari ini.

Dalam PRU kali ini PH diangkat sebagai sebuah kerajaan baharu selepas menewaskan BN yang memerintah sejak 60 tahun lamanya.

Pada masa sama, Khairy turut memohon maaf atas kegagalan beliau kerana tidak mencapai kemenangan kali ini.

Namun tanggungjawab perlu terus dipikul untuk melaksanakan amanah yang diberi rakyat pada kawasan yang dimenangi BN.

“Patah sayap bertongkat paruh, namun menyerah tidak sekali. Mungkin hari ini, kita rasa sedih, kita rasa tidak berdaya, tiada sinar di hujung jalan.

“Tetapi kalau kita kembali ke pangkal perjuangan yang sebenar dan mendengar suara rakyat serta ahli biasa, suatu hari nanti, Rajawali perjuangan akan terbang ke langit semula,” kata Ketua Pemuda BN.