Saturday, May 26, 2018

Umno: Pecat! pecat! pecat!

HAEME HASHIM
26 MEI 2018

Umno perlu lebih tegas dan telus dalam menetapkan polisinya berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

PENDEDAHAN demi pendedahan mengenai skandal-skandal yang memalitkan para pemimpin Umno telah dilakukan oleh rejim Kerajaan Malaysia yang baharu, iaitu kerajaan Pakatan Harapan, dengan mendedahkan pelbagai skandal rasuah, ketirisan kewangan dan pentadbiran yang melibatkan rejim kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Tidak dinafikan, 1MDB merupakan skandal yang paling membuka mata rakyat Malaysia dan seantero dunia. Malah, akhbar dari United Kingdom, The Guardian, melabelkan skandal 1MDB sebagai skandal kewangan terbesar di dunia.

Skandal 1MDB ini bukan sahaja melibatkan krisis dalaman syarikat tersebut, malah turut memalitkan pelbagai agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan yang lain, seperti Kementerian Kewangan, KWSP, Khazanah Nasional dan beberapa organisasi berkaitan kerajaan yang lain, termasuk Bank Negara Malaysia.

Jika dakwaan dan pendedahan oleh kerajaan baharu ini benar, maka ini adalah satu skandal yang bukan sahaja memalukan negara tetapi juga Umno dan Barisan Nasional.

Ini belum lagi diambil kira pengumuman kerajaan mengenai jumlah hutang negara yang perlu ditanggung hampir mencecah RM1 trilion. Andai kata dakwaan kerajaan Pakatan Harapan adalah benar dan tidak bermotifkan politik semata-mata, maka ini adalah satu jumlah yang amat berat untuk ditanggung oleh kerajaan hari ini dan juga rakyat secara keseluruhannya.

Namun, siasatan dan pendedahan semata-mata masih tidak mencukupi. Kerajaan Pakatan Harapan perlu datang dengan solusi kepada segala skandal yang telah mereka dedahkan ini, seandainya benar semua bukti memang menjurus kepada salah laku pemerintahan sebelumnya,

Umno perlu bertanggungjawab dengan segala skandal dan krisis pentadbiran ini.

Kepimpinan Umno pada hari ini, atau mungkin juga selepas pemilihan agung Umno nanti, wajar memainkan peranan yang signifikan dan efektif. Akar umbi perlu bersuara untuk mendesak agar tindakan yang sewajarnya diambil kepada mana-mana pemimpin atau ahli Umno yang terpalit dengan apa juga skandal di negara ini.

Umno perlu memecat mana-mana pemimpin atau ahli Umno yang terbukti bersalah kerana terlibat dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa.

Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Abdul Azeez dan lain-lain pemimpin serta ahli Umno wajar dipecat daripada Umno jika benar dan terbukti mereka ini terlibat dengan mana-mana skandal rasuah dan salah guna kuasa.

Cadangan pemecatan mana-mana pemimpin dan ahli Umno yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa ini adalah satu panggilan imperatif, bukan sahaja oleh akar umbi Umno tetapi juga semua rakyat Malaysia yang mahukan para pesalah laku ini dikenakan tindakan sewajarnya.

Umno perlu lebih tegas dan telus dalam menetapkan polisinya mengenai segala salah laku berkaitan rasuah dan salah guna kuasa. Ini adalah dua virus utama yang mampu merosakkan negara dan agama.

Sudah tentu, buat masa ini amat tidak wajar untuk memecat mana-mana pemimpin atau ahli Umno yang sekadar disyaki terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa. Mengikut prinsip perundangan, seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah selagi masih belum dibuktikan bersalah (melalui mahkamah).

Seandainya dilakukan sekarang, tindakan pemecatan ini akan dianggap sebagai tindakan pra-matang kerana mereka ini masih belum disabitkan bersalah oleh mahkamah. Namun, Umno perlu berfikir secara holistik. Semua pemimpin dan ahli Umno yang disyaki terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa wajar, sekurang-kurangnya, digantung keahlian sehingga mereka terbukti bersalah, atau tidak.

Umno perlu bangkit untuk membuktikan kepada rakyat mengenai komitmen mereka dalam membersihkan Umno. Sokongan dan keyakinan rakyat kepada Umno tidak datang bergolek, ia perlu diraih dengan usaha dan tindakan yang telus, gigih dan meyakinkan. Peru-bahan dalaman Umno perlu dilakukan secara komprehensif dan bukannya bersifat kosmetik.

Peringatan kepada semua akar umbi Umno! Untuk pemilihan Umno pada kali ini, pilihlah pemimpin yang benar-benar bekerja demi rakyat. Pemimpin yang bersih dan cekap. Akar umbi Umno perlu menjadi lebih matang dan berani untuk mengkritik kepimpinan Umno. Mereka tidak maksum dan mereka sama sekali tidak sempurna.

Hentikan sikap wala’ tidak bertempat kepada pemimpin. Umno perlukan kritikan konstruktif daripada akar umbinya untuk kembali bangkit.

* Penulis seorang peguam dan ahli Pemuda Umno PWTC

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-