Wednesday, June 27, 2018

Anwar: Rampasan di hartanah berkait Najib, aib dan memualkan


Ketua umum PKR menyifatkan barangan rampasan dari kediaman berkait bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai "kemewahan dan pemborosan" yang dianggapnya menjadi sesuatu yang "mengaibkan dan memualkan".

"Saya anggap kemewahan dan keborosan ini sangat mengaibkan dan cukup memualkan dan menunjukkan betapa rosaknya sistem dalam negara kita yang ada semua institusi (dari kehakiman sampailah pencegahan rasuah) tetapi perkara ini berlaku berleluasa," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor Astro Awani.

Anwar berkata dengan demikian amalan pengisytiharan harta oleh ahli politik akan dijadikan kewajipan.

Menurut beliau, pengawasan berterusan terhadap semua menteri dan pemimpin oleh badan-badan bebas juga diperlukan bagi mengelakkan berulang "tragedi" sebegini.

"Pengajarannya ialah (pentadbiran HARAPAN perlu) pastikan menteri-menteri, pemimpin-pemimpin dipantau seterusnya," katanya dalam program bual bicara AI, terbitan Astro Awani yang bakal ke udara esok malam.

Anggaran RM1 bilion nilai pasaran

Anwar sedang menjalani rawatan di Pusat Universiti Universiti Malaya kerana sakit bahu.

Anwar mengulas pendedahan pihak polis awal hari ini mengenai barangan yang dirampas semasa serbuan terhadap hartanah berkait dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dianggarkan berjumlah hampir RM1 bilion pada nilai pasaran.

Ini termasuklah barang kemas, bes tangan, jam tangan mewah, kaca mata dan mahkota tiara.

Anwar selanjutnya berkata terdapat keperluan pemantauan berterusan terhadap menteri dan pemimpin politik.

"Bagaimana perbelanjaan mereka? rumah mereka? kenduri-kendara mereka? amalan biasa mereka? Jika tidak, perkara ini akan berulang dan ini bertentangan dengan janji dan sumpah jawatan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-