Monday, June 18, 2018

Anwar serah Dr M tentu masa sesuai tanding semula


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau tidak berhasrat bertanding semula (parlimen) sekarang, sebaliknya akan menghadiri program-program penerangan mengenai rancangan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membina semula negara.

Anwar berkata beliau akan bertolak ke Turki hari ini untuk menghadiri program bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan.

"Saya baru balik dari London sehari sebelum Raya dan semua orang nak tahu semangat perpaduan Malaysia yang berbilang kaum sehingga mampu menjatuhkan kerajaan lama dan membina kerajaan baharu," maklum beliau seperti dipetik Bernama sebagai berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar di Pulau Pinang, malam tadi.

Beliau berkata mempunyai komitmen untuk berkongsi pengalaman politiknya di Malaysia dengan negara luar.

Teruja sokongan Permatang Pauh

"Saya tidak fikir lagi untuk bertanding semula dan menyerah kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan masa yang sesuai," katanya.

Pada majlis yang sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan terima kasih kepada penduduk Permatang Pauh yang turut membantu melakarkan sejarah baharu Malaysia dengan menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Selepas sekian lama meninggalkan Permatang Pauh, saya teruja dengan sokongan yang masih diberikan oleh penduduk di sini," katanya.

Lebih 2,000 pengunjung menghadiri majlis itu Dataran Rakyat Guar Perahu dekat Penanti di sini dan antaranya Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta beberapa pemimpin kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-