Saturday, June 23, 2018

Bahaya guna Guan Eng singkir bos GLC, kata bekas wakil rakyat

Sheith Khidhir Bin Abu Bakar | June 23, 2018
Bekas ahli G25 berkata tindakan kerajaan menggunakan Guan Eng untuk menyingkir 'tokoh dunia korporat Melayu' boleh menimbulkan tindak balas perkauman.

Bekas Ahli Parlimen Umno tertanya apakah ada helah politik sebalik peranan Guan Eng. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Kerajaan dinasihatkan untuk tidak menggunakan Lim Guan Eng untuk mencantas ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan, kerana penyingkiran itu mungkin menjadi isu perkauman.

Bekas Ahli Parlimen Umno, Tawfik Ismail berkata tindakan Pakatan Harapan menyingkir ketua-ketua GLC “langkah yang ekstrem”, walaupun gabungan itu diberi mandat dalam pilihan raya.

Beliau berkata ketua-ketua GLC itu ialah “tokoh dunia korporat Melayu, ramai dalam kalangan mereka anak kampung yang berjaya kerana Dasar Ekonomi Baru dan cemerlang dalam bidang masing-masing kerana kebolehan semula jadi”.

Katanya, penyingkiran berterusan akan menjejaskan kemajuan orang Melayu dalam bidang perdagangan, manakala Pakatan Harapan memburukkan lagi keadaan apabila “menggunakan Guan Eng sebagai kaki pukul”. Ia menyebabkan pencantasan itu bertukar menjadi isu kaum, katanya.

“Keusahawanan diasuh dalam keluarga Cina. Ia tidak diasuh dalam keluarga Melayu, jadi menggunakan Guan Eng untuk mencantas mereka akan tidak disukai oleh ramai orang Melayu.”

Beliau tertanya sama ada keputusan untuk menggunakan Guan Eng satu helah politik supaya DAP boleh dipersalahkan sekiranya berlaku perkelahian politik.

Ketua atau pengarah di syarikat atau agensi kerajaan seperti Felda, Khazanah Holdings dan Telekom meletak jawatan selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan.

Ada spekulasi mereka di syarikat seperti Permodalan Nasional atau Sime Darby akan menyusul.

Anak kampung yang berjaya
Bernama melaporkan Guan Eng sebagai berkata kerajaan ada rancangan untuk mengurangkan campurtangan ahli politik dalam hal ehwal syarikat berkaitan kerajaan, dan lantikan politik di syarikat berkenaan diminta letak jawatan untuk memulakan “proses pembersihan”.

Tawfik, Ahli Parlimen Sungai Benut dari 1986-1990, adalah bekas ahli kumpulan G25, yang kebanyakannya terdiri daripada pegawai kanan kerajaan yang sudah bersara.

Beliau berkata: “Ya, diakui mereka menikmati kedudukan itu melalui naungan, tetapi bukan senang untuk mereka berada di situ. Apakah perasaan dendam terhadap rejim dulu membuatkan kita tidak sedar akan kerosakan jangka masa panjang terhadap kemajuan orang Melayu dalam bidang perdagangan?”

Terlalu banyak sumber dilaburkan untuk ketua-ketua GLC ini, menyebabkan langkah mencantas mereka dengan tiba-tiba langkah yang tidak wajar.

“Mengenal pasti seorang Melayu miskin yang berbakat, memasukkan dia ke dalam program perakauan atau kejuruteraan atau sepertinya melalui Majlis Amanah Rakyat, memberikan latikan praktikal dan kemudian menekannya sehingga berjaya mengambil masa 20 tahun.”

Daim tak selalunya betul
Tawfik mengambil Pengerusi Permodalan Nasional Bhd, Abdul Wahid Omar sebagai contoh. “Wahid seorang pengurus yang bagus. Daim tidak selalunya betul,” katanya, merujuk kepada bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin.

Spekulasi mengatakan Wahid akan berundur seawal bulan depan, antaranya kerana kritikan terhadap janji Pakatan Harapan memansuhkan GST.

Kritikan itu mengundang respon dari Daim yang berkata Wahid sepatutnya menumpukan perhatian kepada tugasnya memimpin PNB dan membiarkan kerajaan baru mengurus ekonomi negara.

Tawfik tertanya sama ada mereka di sebalik langkah itu ialah orang-orang atasan dalam Pakatan Harapan yang tidak mahu Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seterusnya.

Beliau berkata mungkin ada langkah-langkah untuk menjayakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali dengan meletakkan urus janji besar daripada San Miguel Corp dan Petronas di bawahnya.

Ada desas-desus ketegangan antara keluarga Anwar dan Azmin, timbalan presiden PKR, selepas Langkah Kajang pada 2014, yang mana Anwar atau isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengambil alih jawatan menteri besar Selangor selepas Tan Sri Khalid Ibrahim disingkirkan.

Bagaimanapun, selepas krisis dalaman parti dan kerajaan negeri yang berpanjangan, Sultan Selangor menamakan Azmin sebagai menteri besar baru, dengan sokongan PAS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-