Monday, June 25, 2018

Berkhidmat kepada rakyat, pesan Shahrizat pada Noraini

Zikri Kamarulzaman | Diterbitkan 25 Jun 2018


Bekas ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengucapkan tahniah kepada penggantinya Datuk Noraini Ahmad atas kemenangannya dalam pemilihan sayap parti itu.

Ditanya apakah perkara utama yang perlu dilakukan Noraini selepas memenangi jawatan itu, Shahrizat berkata "Berkhidmat, berkhidmat, berkhidmat kepada rakyat."

Noraini memenangi jawatan ketua wanita Umno apabila menewaskan dua lagi pencabarnya. Manakala Norliza Rahim pula dipilih sebagai naib ketua wanita yang baru.

Shahrizat yang tidak bertanding dalam pemilihan Umno, berkata Noraini layak memimpin sayap parti itu.

"Beliau mempunyai apa yang diperlukan untuk memimpin Wanita dalam masa-masa yang sangat mencabar serta mempunyai pengalaman dan kelayakan.

"Beliau berpijak di bumi nyata dan memahami perubahan yang mesti dilakukannya," kata Shahrizat.

Shahrizat berkata, beliau pernah merancang untuk meletakkan Noraini sebagai penggantinya dan memilihnya sebagai Penolong Setiausaha BN pada 2013.

Noraini merupakan anggota Parlimen Parit Sulong selama tiga penggal dan menjadi rakyat Malaysia pertama yang dipilih sebagai Pengerusi Anggota Parlimen Wanita Komanwel (CWP).

Beliau pernah berkhidmat sebagai wanita pertama yang mengetuai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-