Saturday, June 30, 2018

Dana 1MDB untuk Umno: Noh petik nama Najib

Anne Muhammad | Diterbitkan 30 Jun 2018, 2:54 petang


PEMILIHAN UMNO 2018 | Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar hari ini mendakwa beliau tidak tahu-menahu sekiranya dana Umno negeri itu mempunyai kaitan dengan wang 1MDB.

Kata bekas menteri itu, beliau mendapat tahu mengenai isu berkenaan hanya melalui media sosial.

Menurut Noh, ada pihak mendakwa dana daripada syarikat pelaburan milik kerajaan yang sedang disiasat itu masuk ke akaun Umno Selangor pada 2013.

Bagaimanapun kata Noh, pada waktu itu Umno Selangor dipimpin Datuk Seri Najib Razak dan jawatan berkenaan hanya diserahkan kepadanya pada 2014.

“Di media sosial ada orang kata Badan Perhubungan Umno Selangor dapat dana 1MDB pada 2013.

“(Isu dana) 1MDB berlaku pada tahun 2013. Kalau (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia - SPRM) panggil saya pun saya (kata saya) tak tahu.

"Saya tak tahu-menahu sebab saya tak tender cheque waktu itu," katanya di Tanjung Karang, Selangor hari ini.

Noh yang sebelum ini menjadi salah seorang pemimpin paling menonjol di Selangor ditanya mengenai langkah SPRM membekukan hampir 1,000 akaun Umno, termasuk melibatkan bahagian di Selangor.

Langkah itu diambil sebagai membantu badan antirasuah terbabit menyiasat dakwaan berlaku salah laku dan penyelewengan membabitkan dana 1MDB.

Najib dikaitkan secara langsung dalam dakwaan berkenaan.

"Saya tak boleh komen sebab kita tak tahu mengapa ia dibekukan," kata Noh lagi.

Menurut Noh, pada 2013 beliau bukan berjawatan ketua perhubungan Umno negeri.

Justeru katanya beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan urusan transaksi dana.

Noh sebelum itu menghadiri mesyuarat pemilihan Umno peringkat Tanjung Karang di Dewan Datuk Hormat.

[Berita penuh menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-