Saturday, June 23, 2018

GERAKAN keluar BN

Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@nstp.com.my
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

PARTI Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) hari ini mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN) untuk menjadi parti bebas yang konstruktif.

GERAKAN dalam satu kenyataan berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat hasil mesyuarat Jawatankuasa Pusat GERAKAN (CGC).

“Keputusan ini dibuat selepas perbincangan, penelitian dan pertimbangan yang menyeluruh dan serius terhadap perkembangan politik semasa negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Sentimen dan maklum balas daripada akar umbi juga diambil kira dalam keputusan ini, pemilihan parti di peringkat cawangan sedang berlangsung di seluruh negara. Ia selaras dengan matlamat kami untuk menyatukan parti dan ahli,” katanya.

Menurut kenyataan itu, GERAKAN wajar memulakan perjalanan politik baharu dengan kebebasan, pemerkasaan dan ketegasan untuk memperjuangkan kepercayaan terbaik demi negara dan rakyat.

Mengulas lanjut, keputusan itu selaras dengan aspirasi, keperluan dan permintaan baru oleh rakyat pasca PRU-14 selain memutuskan bahawa GERAKAN harus melakarkan hala tuju baharu untuk terus kekal dalam perjuangan.

“Kami keluar BN di bawah suasana yang baik, GERAKAN akan memainkan peranan sebagai sebuah parti yang bebas dalam blok pembangkang untuk menjalankan semak dan imbang ke atas Kerajaan Pakatan Harapan.

“Kami akan bekerjasama dengan parti, invididu dan kumpulan yang berkongsi fahaman dan perjuangan yang sama atas kepentingan nasional untuk memartabatkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan demokrasi Malaysia,” katanya.

Katanya, GERAKAN sentiasa menjunjung idealisme politik, prestasi dan integriti sebagai aset selain menjadi perintis liberalisme, kepelbagaian kaum dan pragmatisme dalam politik Malaysia sekali gus berusaha memainkan peranan dalam sistem multi-parti yang matang.

Keputusan GERAKAN itu menyaksikan BN kini hanya bertahan dengan tiga parti iaitu UMNO, MCA dan MIC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 2:35 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-