Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, June 24, 2018

Kendali kes Scorpene di Malaysia, kata Suaram

Khairil Ashraf | June 24, 2018
Ini kerana skandal yang dikaitkan dengan pembelian kapal selam Scorpene melibatkan syarikat tempatan dan kerajaan Malaysia.


PETALING JAYA: Badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini menyarankan kerajaan membuka semula kes pembelian kapal selam Scorpene agar ia dijalankan di Malaysia.

Ini kerana skandal yang dikaitkan dengan pembelian kapal selam itu melibatkan syarikat tempatan dan kerajaan Malaysia, kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy,

“Fokus kes kita adalah penyelewengan dalam pembelian kapal selam Scorpene yang melibatkan syarikat Malaysia dengan syarikat di Perancis. Pada masa itu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak juga merupakan menteri pertahanan juga.

“Kalau boleh sama ada Suaram failkan atau kerajaan kepada kerajaan atau kita bincangkan dengan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu nanti,” katanya.

Pada 19 Julai lalu, AFP melaporkan penyiasat Perancis mendakwa 2 pegawai syarikat yang terlibat dalam penjualan 2 kapal selam Scorpene bernilai AS$1.1 bilion kepada Malaysia pada 2002. Mereka ialah Philippe Japiot, bekas pengerusi syarkat DCNI, dan Jean-Paul Perrier, bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pertahanan gergasi Thales, yang disoal siasat Mei lalu atas tuduhan rasuah dan komisen.

Pada 22 Jun lalu, dilaporkan pihak berkuasa Perancis menerusi badan kehakimannya menjalankan usaha susulan membabitkan siasatan berhubung pembelian kapal selam Scorpene bernilai 1 bilion euro. Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata perkara itu didedahkan sendiri oleh Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche dalam satu pertemuan di Putrajaya.

Suaram berkata pihaknya mencadangkan kerajaan membenarkan peguam Perancis yang mengendalikan kes Scorpene, William Bourdon, dibenarkan masuk ke negara ini supaya dia boleh memberi taklimat perkembangan terbaru kes tersebut kepada kerajaan.

“Peguam ini sebelum ini telah dilarang datang ke Malaysia apabila dia mahu membuat penerangan kes Scorpene ini,” katanya.

Sevan berkata cadangan-cadangan ini akan dikemukakan kepada Mohamad Sabu pada pertemuan yang dijadualkan Khamis depan.