Friday, June 29, 2018

Ku Li Sudah Jangka Bahana Rasuah, GST

Joomla Social


KUALA LUMPUR: Amalan rasuah yang menjadi barah dalam kalangan masyarakat antara kandungan penting surat khas ditulis oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah empat tahun lalu, yang ditujukan kepada semua Ahli Parlimen terutama daripada Barisan Nasional (BN).

Tengku Razaleigh berkata, apabila tekanan itu dirasai oleh rakyat, tidak mustahil amalan rasuah di setiap peringkat tanpa mengira jumlah kecil atau besar semata-mata untuk menjaga 'periuk nasi' mereka sendiri.

Katanya, rasuah itu juga menjadi penambah beban kepada kos sara hidup, umpamanya apabila projek pembangunan dinaikkan harga lebih daripada berpatutan, secara tidak langsung kos itu akan ditanggung oleh pengguna dan pembayar cukai.

"Jika perkara ini terus berlanjutan, sistem ekonomi kita terus dihantui oleh kekurangan timbal balas dan akhirnya menyebabkan berterusannya amalan pelaksanaan projek 'untung atas angin'.

"Ini mewujudkan amalan pemerintahan tidak telus dan rasuah yang meluas. Justeru tidaklah hairan sekiranya Malaysia akan dilihat sebagai sebuah negara terburuk mengenai kejujuran dan integriti," katanya dalam surat khas bertarikh 30 Oktober 2014.

Ternyata kebimbangan beliau menjadi kenyataan dan dianggap antara punca rakyat menolak BN ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai cadangan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan ketika itu yang boleh menambah tekanan kos sara hidup rakyat.

"Pada hemat saya, demi melegakan beban kewangan rakyat yang semakin meningkat, mungkin GST ini boleh ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi meningkat ke tahap yang lebih kukuh dan kuat.

"Sekiranya cukai ini perlu juga dilaksanakan, adalah diharap kadarnya dicongak semula kerana ia akan memberi kesan kepada golongan bawahan dan pertengahan," katanya.

Beliau berkata, seeloknya bagi mengatasi perkara itu daripada berlarutan, idea baru dan berani haruslah dilaksanakan dalam masa lima hingga 10 tahun dengan melakukan reformasi agar rakyat selamat daripada ancaman dan tekanan ekonomi dalaman serta ancaman krisis ekonomi global.

"Rakyat memerlukan perubahan berani yang semestinya dibawa oleh kepimpinan yang sensitif kepada tuntutan dan perasaan rakyat akar umbi. Kita seharusnya mengambil berat akan kebimbangan dan aspirasi mereka.

"Hakikatnya mereka perlu perubahan sekarang, jikalau tidak negara kita akan dianggap gagal," katanya.

Tengku Razaleigh adalah lima calon presiden UMNO bagi pemilihan Sabtu ini, selain Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan dua lagi individu.

- BH Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-