Thursday, June 28, 2018

Melayu, Bumiputera perlu terus dibantu, walau dalam era Malaysia Baharu - penganalisis

Firdaus Azil, Astro AwaniJun 28, 2018 05:03 MYT

Kata Dr Muhamad Nadzri, polisi tidak seharusnya memfokuskan kepada aspek etnik semata-mata, tetapi perlu dilihat dari segi lain, khasnya keperluan dan kelas masyarakat. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR : Keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meneruskan polisi membantu kaum Melayu dan Bumiputera adalah perlu bagi mengimbangkan kedudukan sosio-ekonomi mereka, tegas penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor.

Namun, katanya lagi, untuk Malaysia terus bergerak ke hadapan, polisi tidak seharusnya memfokuskan kepada aspek etnik semata-mata, tetapi perlu dilihat dari segi lain, khasnya keperluan dan kelas masyarakat, walaupun di dalam etnik yang sama.

“Kena tengok juga aspek kelas, antara orang berada dan bukan berada, kerana tak semua Melayu itu kaya, dan tak semua Melayu itu miskin. Jadi bagi saya, mana yang memerlukan itu perlu diberikan keutamaan, berbanding diberi mengikut kaum-kaum tertentu.

“Tetapi penting juga untuk keseimbangan aspek sosial, khasnya kalau komposisi kaum itu katalah Melayu dan Bumiputera yang mencapai hampir 70 peratus di negara ini, maka ia juga harus diutamakan supaya tidak terlampau mengganggu fabrik sosial,” kata Dr Muhamad Nadzri ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Dalam satu wawancara bersama media antarabangsa baru-baru ini, Dr Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berkata, walaupun jurang kekayaan antara kaum, terutamanya Melayu dan Cina berjaya dikurangkan, namun ada beberapa aspek yang menunjukkan Melayu perlu terus diberi bantuan.

Sebagainya contoh, kata Perdana Menteri, biasiswa untuk ke luar negara masih perlu diberikan memandangkan majoriti ibu-bapa berbangsa Melayu masih belum mampu menampung pembelajaran anak mereka, sedangkan majoriti ibu-bapa berbangsa Cina tidak mempunyai masalah dari segi kewangan memandangkan mereka kebanyakkannya berkecimpung dalam perniagaan.

Namun, tegas Dr Mahathir, keutamaan dalam merapatkan jurang kekayaan bukan sahaja antara kaum (inter-ethnic), tetapi juga dalam kaum itu sendiri (intra-ethnic).

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Nadzri berkata, kelemahan Dasar Ekonomi Baharu dahulu bukan disebabkan objektif, tetapi dari segi penyampaian.

“Dalam penyampaian DEB, ada banyak political factors yang wujud, baik di peringkat atasan mahupun bawahan. Banyak kontrak di peringkat atasan dipengaruhi faktor pengaruh politik.

“Siapa yang ada kedudukan dalam parti politik, ataupun mempunyai hubungan dengan yang memerintah,” jelasnya lagi.

Dr Muhamad Nadzri berkata, beliau sedia maklum terdapat kegusaran di mana polisi membantu Melayu dan Bumiputera itu juga akan mengakibatkan syarikat-syarikat Melayu yang tidak mempunyai keupayaan, juga akan terus diberi bantuan.

Namun, tegasnya lagi, dalam era di mana Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan menjanjikan ketelusan dan integriti, perkara itu juga akan ditangani sepenuhnya kerana rakyat kini lebih celik dalam proses menghadam isu semasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-