Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, June 22, 2018

Mudahnya HARAPAN menyalahkan orang lain

ULASAN

Unit Komunikasi Strategik Umno | Diterbitkan 22 Jun 2018, 9:03 malam 


ULASAN | Penyusutan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) daripada AS$108.5 bilion pada 31 Mei kepada AS$107.9 bilion, seperti laporan bank pusat itu, amat menggusarkan Umno dan rakyat Malaysia.

Ia juga jauh lebih rendah ketika rizab negara berjumlah A$110.0 bilion pada April 2018 atau sebelum PRU14. Ketika itu, ia di bawah pentadbiran kerajaan BN.

Penarikan balik dana asing di Bursa Malaysia yang berjumlah RM2.48 bilion, kerugian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bernilai RM6 bilion dalam bentuk pelaburan dan nilai ringgit yang jatuh daripada RM3.91 kepada RM4.01 bagi AS$1 juga bukan sesuatu yang kebetulan.

Ini bukannya salah BN dan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Ketika semua pelan pembangunan dan penarikan minat pelabur asing memuncak di zamannya, Pakatan Harapan (HARAPAN) cuba memusnahkannya.

Pengakuan HARAPAN bahawa bukan semua manifestonya dapat ditunaikan, pelabur asing melihat helah politik mereka lebih kepada mencari kesalahan kerajaan silam, dan bukannya merangka strategi untuk pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan suasana keyakinan dalam pasaran serta pelaburan.

Pembohongan berterusan mereka mengenai kaitan Najib dan 1MDB, pembentukan Tabung Harapan Malaysia serta putar-belit tentang ekonomi negara menggusarkan pelabur asing untuk terus menanam modal atau menyuntik modal baru di Malaysia.

HARAPAN hanya ada diri sendiri untuk dipersalahkan. Penipuan dan propaganda bohong yang merendah serta memperkecilkan negara sendiri di luar negara mula menampakkan hasil yang mereka inginkan.

Ekonomi negara yang bankrap serta pembohongan fakta-fakta lain selama empat tahun kini menjerumuskan HARAPAN ke dalam kesukaran untuk menunaikan janji dan menarik semula keyakinan pelabur.

Dr Mahathir Mohamad sendiri terpaksa mengkitar semula Dasar Pandang ke Timurnya dan merayu bantuan pinjaman daripada Jepun. Dasar jimat-cermatnya pula diragui dengan pelan kereta nasional yang baru dan peranan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, yang tugasnya hanya mencari kesalahan lalu, tanpa sikit pun usaha untuk membangunkan ekonomi negara.

Di manakah kebijaksanaan Lim yang ditonjolkan oleh Dr Mahathir sebagai begitu berjaya dalam menguruskan ekonomi Pulau Pinang?

Kalau setakat untuk mengorek kesalahan pentadbiran silam, sesiapa pun boleh jadi menteri kewangan.

Sepatutnya sebagai Menteri Kewangan yang berkaliber dan berwawasan, Lim perlu mengadakan segera pertemuan dengan pengurus asing bagi mengembalikan keyakinan mereka untuk terus melabur di pasaran saham Malaysia.

HARAPAN perlu melihat dan menyalahkan diri sendiri di atas kemelut ini. Biarpun menggunakan "kami kerajaan baru" sebagai helah untuk mengelabui mata rakyat, kesedaran mulai timbul betapa mereka sebenarnya menggunakan kesempatan ini untuk mentadbir dalam gelap semata-mata.

Sampai bilakah pembohongan dan putar-belit ini akan digunakan untuk terus menipu rakyat dan pengundi? Dan sampai manakah Dr Mahathir merasakan kabinetnya dianggotai oleh mereka yang benar-benar berguna kepada rakyat dan negara?

Taktik mereka selama ini sudah mula memakan diri. Pelabur asing mungkin mengambil sikap tunggu dan lihat kepada perkembangan pasaran tempatan, atau mungkin mengalihkan perhatian ke negara lain.

Oleh itu, apa inisiatif HARAPAN untuk menarik dan meyakinkan pelabur luar? Menyalahkan orang lain amat mudah tetapi mengakui silap sendiri memang sukar dibuat!