Monday, June 25, 2018

Pua bidas dakwaan Najib tiada dana diseleweng 1MDB dari TRX


Anggota Parlimen Damansara Tony Pua membidas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa tiada dana untuk projek Tun Razak Exchange (TRX) yang telah diselewengkan oleh 1MDB selaku syarikat induk TRX City Sdn Bhd.

"Dia (Najib) tidak boleh dari satu segi, berpura-pura tidak tahu dan menyalahkan pengarah atau pengurusan syarikat, tetapi pada masa yang sama menunjukkan kefahaman mengenai urusniaga yang berlaku dalam 1MDB, meskipun mengelirukan dan melakukan penipuan," kata Pua.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng minggu lalu mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menyuntik RM2.8 bilion bagi projek TRX kerana sekiranya ia diabaikan akan menyebabkan kerajaan membayar pampasan sebanyak RM3.51 bilion.

Najib kemudian menuduh Lim menyebarkan maklumat "separuh benar dan pembohongan" berhubung projek TRX.

Antara lain, Najib dalam catatan di Facebook berkata dana yang didakwa disalahgunakan merupakan pinjaman antara syarikat dan telah dibayar balik oleh 1MDB berkuat kuasa 31 Mac tahun lepas melalui pembayaran tunai dan dividen yang dibayar oleh TRXC kepada 1MDB.

Pua bagaimanapun berkata Najib yang pernah mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB sepatutnya tidak berdolak dalik, sebaliknya menjelaskan penemuan terkini Kementerian Kewangan bahawa RM3.067 juta disalahgunakan bagi tujuan lain.

"Sekiranya wang dalam TRXC pernah digunakan untuk projek-projeknya dengan cara telus dan bertanggungjawab, syarikat itu tidak akan memerlukan RM2.8 bilion pembiayaan tambahan dari Kementerian Kewangan," katanya.

TRXC adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh 1MDB.

TRXC merupakan pemilik dan pemaju induk dua projek hartanah yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan 1MDB iaitu TRX dan Bandar Malaysia.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-