Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, June 23, 2018

Pusat kajian: Katakan tidak kepada konsesi eksklusif ubat-ubatan

Robin Augustin | June 23, 2018
Keutamaan kepada Bumiputera perlu dikaji semula, berpotensi jimatkan ratusan juta ringgit jika orang tengah dihapuskan.
Pesakit mendapat faedah jika monopoli dihentikan, kata Pusat Galen. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menamatkan konsesi monopoli dalam sistem penjagaan kesihatan dan mengkaji semula dasar mengutamakan syarikat Bumiputera, kata sebuah pusat kajian.

Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata amalan kerajaan memberikan konsesi eksklusif melahirkan monopoli bagi syarikat konsesi dan menyebabkan mereka mempunyai pengaruh besar ke atas sistem penjagaan kesihatan.

Ketuanya, Azrul Mohd Khalib berkata pergantungan tidak sihat kepada syarikat ini semakin menyerlah dengan kepercayaan ia akan menjadi “terlalu besar untuk gagal”.

Sistem perolehan ubat-ubatan dan kerangka rangkaian perbekalan lebih kompetitif dan telus adalah bagi kepentingan pesakit, katanya.

Dasar mengutamakan syarikat Bumiputera sebelum ini menggalakkan kelahiran dan pergantungan kepada orang tengah antara pembekal dengan Kementerian Kesihatan dan mengakibatkan amalan Ali-Baba, penipuan tender dan pemberian komisen.

Ratusan juta ringgit boleh diselamatkan sekiranya pembekal dibenarkan berunding secara langsung dengan Kementerian Kesihatan.

Pakar strategi PPBM, Datuk Rais Hussin berkata, Pakatan Harapan(PH) menolak semua bentuk amalan monopoli, namun percaya masalah sebenarnya bukanlah dasar berkaitan Bumiputera itu tetapi pelaksanaannya, yang menyebabkan beberapa orang tertentu menjadi ejen tender dan membentuk kartel.

Rais mendakwa, ketika pemerintahan Barisan Nasional sebelum ini, kelompok “Umnoputra” menguasai kesemuanya berdasarkan amalan komisen dan pemberian kontrak lumayan kepada syarikat yang dikaitkan dengan pemimpin politik.

“Syarikat Bumiputera perlu ditolong, tetapi menjadi ketua cawangan atau bahagian atau anggota Majlis Tertinggi Umno bukanlah kriteria yang patut diambil kira.

“Perlu ada usaha wajar dalam pemberian kontrak. Syarikat mesti mempunyai rekod yang baik. Kita perlu melihat individu terbabit, kepakaran, pengalaman dan kemampuan syarikat,” katanya, dan menambah aspek pelaksanaan dasar perlu diperbaiki.

Rais berkata dasar pengupayaan Bumiputera mesti diperhalusi semula bagi mempercepatkan proses pendidikan mereka supaya lebih mampu berdikari.

Kerajaan persekutuan baru-baru ini menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk memeriksa sistem perolehan kerajaan berikutan pendedahan mengenai syarikat dikaitkan dengan pemimpin politik yang rapat dengan kerajaan terdahulu menguasai perbekalan ubat-ubatan bernilai berbilion ringgit kepada kerajaan.