Tuesday, June 26, 2018

Rosmah jawab WSJ: Tak pengaruh Najib, tiada kaitan 1MDB


Peguam Dato' K Kumaraendran dan Dato' Geethan Ram Vincent mengeluarkan kenyataan bagi pihak isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor sebagai menjawab dakwaan terbaru dalam laporan Wall Street Journal (WSJ).

Para peguam berkata anak guamnya Rosmah tidak ada kaitan dengan syarikat pelaburan dana negara, 1MDB.

"Kami telah meneliti perkara-perkara yang dilaporkan dalam Wall Street Journal (WSJ), yang memetik sumber, yang mendakwa bahawa Datin Seri Rosmah merupakan individu utama dalam dakwaan penyelewengan kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Kami ingin ulangi di sini, bahawa anak guam kami tidak mempunyai kaitan, ataupun berperanan secara langsung dan tidak langsung dengan operasi harian syarikat tersebut, lebih-lebih lagi pengurusan kewangannya, atau mereka yang dilantik untuk mengawasi firma itu," kata kenyataan itu.

Peguam itu juga berkata sebagai isteri kepada perdana menteri pada waktu itu, Rosmah tidak terlibat dengan keputusan yang dibuat Najib.

"Selaku isteri seorang perdana menteri pada ketika itu, Datin Seri Rosmah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang ditangani oleh Datuk Seri Najib Razak, dan tidak pernah Datik Seri pada bila-bila masa pun mempengaruhi apa juga keputusan yang dibuat pihak eksekutif.

"Oleh itu, dengan menghubungkan Datin Seri Rosmah terus kepada 1MDB, dan menimbulkan tuduhan terhadapnya, kami bimbang ianya suatu usaha untuk mempengaruhi hasil siasatan yang sedang dijalankan dan paling teruk untuk merosakkan imej Datin Seri Rosmah," maklum kenyataan itu lagi.

Laporan terbaru WSJ memetik sumber-sumbernya menggambarkan Rosmah sebagai kuasa sebenar di belakang pentadbiran Najib.

[Berita penuh menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-