Sunday, June 24, 2018

Sabah selar pelancong menari di tembok masjid

Bernama | June 24, 2018
Pembantu menteri, Assafal Alian berkata, perbuatan pelancong asing terbabit tidak menghormati orang Islam serta layanan baik Sabah kepada mereka.

VIDEO INSIDE

Berikutan kejadian itu, pihak pengurusan masjid mengeluarkan larangan sementara kepada semua pelawat warga asing.

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengutuk tindakan di luar batas dan tidak sesuai oleh 2 pelancong asing yang menari di atas tembok pagar Masjid Kota Kinabalu yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pembantu menteri, Assafal Alian berkata, perbuatan pelancong asing terbabit di kawasan rumah ibadat sebagai tidak menghormati orang Islam serta layanan baik Sabah kepada mereka.

Beliau menegaskan Sabah adalah sebuah negeri berbilang kaum dan agama, dan menjaga keharmonian agama adalah antara perkara asas yang dipertahankan.
“Kementerian tidak memandang ringan isu ini, jika kita mahu terus mengembangkan industri ini.

“Walaupun insiden berkaitan pelancong seperti ini berlaku di mana-mana, tetapi kita tidak akan berdiam diri dan tanpa melakukan apa-apa tindakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Assafal berkata tindakan akan diambil terhadap pelancong terbabit apabila identiti dan kewarganegaraan mereka dikenal pasti, termasuk pengendali percutian yang gagal memberikan penerangan dan memaklumkan tatacara betul ketika melawat rumah ibadat.

Berikutan kejadian itu, pihak pengurusan masjid tersebut mengeluarkan larangan sementara kepada semua pelawat warga asing.

Setiap hari, hampir seribu pelancong melawat masjid tersebut yang merupakan satu daripada tempat mesti dilawati di Kota Kinabalu.

“Kementerian akan terus mengadakan perbincangan dengan pengusaha pelancongan dan pihak berkepentingan dalam indutsri, termasuklah pemilik premis tarikan pelancongan di Sabah, terutamanya di kawasan sensitif seperti bangunan agama dan rumah ibadat.

“Kami juga merancang untuk memperkenalkan had kehadiran di kawasan tarikan pelancong termasuk rumah ibadat bagi mengawal dan membolehkan aliran lancar antara pengamal dan pelancong ke kawasan berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-