Friday, June 22, 2018

Siapa calon Speaker Dewan Rakyat?

RAIS YATIM, Ambiga dan Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR 22 Jun - Persaingan bagi jawatan Speaker Dewan Rakyat sekarang hanya tertumpu kepada dua calon selepas aktivis sosial Datuk S. Ambiga menolak spelukasi bahawa beliau disenaraikan sebagai calon.

"Saya bukan calon bagi jawatan Speaker," kata bekas Pengerusi Bersih 2.0 dalam pesanan teks ringkas kepada Bernama.

Ambiga, seorang peguam, ialah seorang daripada tiga orang yang disebut-sebut oleh media yang membuat spekulasi tentang siapa yang akan menyandang jawatan Speaker, selain bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh dan bekas menteri Tan Sri Rais Yatim.

Hannah, dilaporkan menjadi pilihan partinya DAP dan menurut beberapa laporan media, namanya berada teratas dalam undian yang dijalankan oleh Facebook.

Ketika dihubungi, beliau enggan mengulas sambil berkata pengumuman itu harus dibuat oleh kerajaan.

Biarlah kepimpinan (gabungan Pakatan Harapan (membuat keputusan dan mengumumkannya," kata beliau.

Rais, bekas menteri Kabinet yang berkelulusan dan berpengalaman luas dalam bidang undang-undang dilhat sebagai calon utama, bahkan sebuah harian berbahasa Inggeris membuat spekulasi bahawa beliau adalah calon pilihan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk jawatan itu.

Dalam temubual dengan satu lagi harian berbahasa Inggeris yang disiarkan hari ini, Rais berkata, spekulasi itu hanyalah desas-desus yang tersebar.

"Ia seperti lima tahun lepas (selepas PRU13). Nama saya disebut-sebut dan tiada apa yang berlaku. Ia boleh berlaku dengan cara ini sekali lagi," beliau dipetik sebagai berkata.

Walaupun spekulasi bertiup kencang di kalangan media arus perdana dan media sosial mengenai tiga nama, tidak ada kenyataan rasmi yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan mengenai pilihan sebagai Speaker walaupun Dewan Rakyat dijadualkan bersidang dalam masa kurang dari sebulan pada 16 Julai.

Malah, beberapa pemimpin Pakatan Harapan, ketika dihubungi, berkata gabungan itu belum mengadakan mesyuarat rasmi untuk membincangkan perkara tersebut.

Pengarah Komunikasi PKR dan naib ketua Pemuda PKR Fahmi Fadzil yang memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini mengesahkan tiada mesyuarat seperti itu diadakan buat masa ini.

"Setakat ini belum ada mesyuarat rasmi, saya pun belum dapat maklumat," kata beliau. Naib pengerusi DAP Teresa Kok memberikan jawapan yang serupa.

Menurut Peraturan Tetap Dewan Rakyat, nama calon bagi jawatan speaker mesti dikemukakan kepada setiausaha Parlimen sebelum proses undian yang harus dijalankan sekurang-kurangnya 14 hati sebelum mesyuarat pertama diadakan.

Speaker tidak perlu menjadi anggota Dewan Parlimen, yang bermaksud anggota Parlimen dan bukan anggota Parlimen layak menjadi speaker dan kedua-dua pihak dibenarkan mengemukakan nama.

Jika hanya seorang calon memenuhi syarat yang diperlukan, beliau secara automatik dipilih sebagai speaker. Jika tidak, undian sulit perlu dijalankan dengan calon yang dipilih ditentukan berdasarkan "simple majority".

Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan berkata setahunya, Amanah, belum menyenaraikan sesiapa bagi jawatan itu.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa sesiapa sahaja boleh dipilih dengan syarat bahawa orang itu perlu bertanggungjawab dan adil.

"Selangor pun dah buktikan yang wanita mampu menjadi Speaker," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-