Sunday, June 24, 2018

'Wajah baharu tiga sayap UMNO'

Mohd Anwar Patho Rohman 
dan Fahmy Azril Rosly
cnews@nstp.com.my
(DARI kiri) Asyraf Wajdi memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO, Noraini (Ketua Wanita UMNO) dan Zahida (KetUMNOua Puteri UMNO) pada pemilihan UMNO 2018, hari ini. FOTO Arkib NSTP

TIGA muka baharu - Datuk Dr Noraini Ahmad, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Zahida Zarik Khan masing-masing dipilih sebagai Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada pemilihan UMNO 2018, hari ini.

Asyraf Wajdi, 42, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengalahkan tiga pencabarnya iaitu Senator Khairul Azwan Harun, Shahar Abdullah dan Datuk Seri Jamal Yunus bagi penggal 2018/21.

Zahida, 39, bekas Naib Ketua Puteri UMNO pula menewaskan pencabarnya, Nor Hazreena Mohamad Hashim.

Bagi kerusi Wanita, Noraini, 50, mengenepikan saingan Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Azizah Mohd Dun, 63, dan bekas Ketua Wanita UMNO Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman, 69.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pula, ia dimenangi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Shahril Sufian Hamdan, 32, yang mengenepikan pencabarnya, Zahrudin Yahya, Shariquq Adam Das, Razali Tushan, Abdul Halim Sidek Ghulam Hassan, Ridzuan Hashim Baki, Safhwan Matusin dan Fariz Hadi.

Ketua UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Rahim pula memenangi kerusi Naib Ketua Wanita menewaskan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Rosni Zahari, Endang Kusma Mohamed dan Masdiana Salleh.

Keputusan rasmi diumumkan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh pada 9.10 malam tadi.

Turut serta pada majlis pengumuman ialah Asyraf Wajdi, Noraini dan Shahril Sufian.

“Keputusan penuh pemilihan sayap dan jawatankuasanya boleh diakses menerusi laman web UMNO,” kata Ab Rauf.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada mereka yang menang dalam pemilihan yang dijalankan serentak, hari ini.

Beliau berkata, keterbukaan pemilihan parti tanpa syarat tertentu yang diputuskan UMNO adalah ibu kepada segala demokrasi dalam sejarah pemilihan parti sejak 1988.

“Tahniah dan syabas atas kemenangan semua Ketua-ketua Pergerakan pada pemilihan ini.

“Ini memaparkan UMNO kini lebih terbuka, demokratik dan inklusif yang membolehkan lebih 165,000 perwakilan membuat pilihan,” katanya dalam kenyataan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-