Tuesday, July 10, 2018

20 sen tak berkesan, Selangor timbang naikkan caj beg plastik

Khairil Ashraf | July 10, 2018
Exco Selangor, Hee Loy Sian berkata, masih ramai suka menggunakan beg plastik kerana 20 sen terlalu murah.
Hee Loy Sian berkata, cadangan menaikkan caj beg plastik tidak bermakna kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” gagal, sebaliknya 20% hingga 30% pengguna menerima baik konsep diperkenalkan Selangor itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Exco Selangor, Hee Loy Sian berkata, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menaikkan caj 20 sen bagi setiap beg plastik kepada pembeli dalam usaha mengurangkan penggunaannya.

Katanya, caj 20 sen yang dilaksanakan sejak 2010 dilihat tidak memberikan kesan besar.

“Masih ramai suka menggunakan beg plastik. 20 sen bagi mereka terlalu murah. Mereka masih sanggup bayar RM1 untuk mendapatkan 5 beg plastik,” katanya ketika dihubungi FMT.

Selangor mula melaksanakan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan, pada setiap Sabtu.

Pengguna perlu membayar 20 sen bagi setiap beg plastik dan wang itu disalurkan kepada badan kebajikan atau program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar.

Kempen itu kemudiannya dilanjutkan kepada setiap hari mulai 1 Januari 2017 dan turut merangkumi kempen bebas bekas makanan polistirena.

Hee yang juga pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam Selangor berkata, cadangan menaikkan caj beg plastik tidak bermakna kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” gagal, sebaliknya 20% hingga 30% pengguna menerima baik konsep diperkenalkan kerajaan negeri itu.

“Kaji selidik yang diadakan bersama pengusaha pasar raya besar mendapati memang ada kesan baiknya, tetapi belum sampai ke tahap memuaskan.

“Jadi, kita mahu beransur-ansur berikan masa kepada pengguna supaya mereka tidak akan menggunakan beg plastik pada masa depan. Yang ini kemungkinan perlukan masa lama untuk mendidik.”

Katanya, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan muktamad dan lebih banyak kempen kesedaran akan bermula di sekolah rendah.

“Sebelum kita laksanakan, kita harus adakan banyak kempen kesedaran bagi mendidik murid sejak kecil lagi supaya tidak menggunakan beg plastik.”

Adun Kajang itu berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan kerajaan pusat, khasnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam usaha memperluaskan kempen itu dan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap penjagaan alam sekitar.

“Kita harap arahan sama diberikan kepada setiap negeri. Jangan pula hanya Selangor dan Pulau Pinang laksanakan, tetapi negeri lain tidak.”

Selain Selangor, negeri lain yang turut melaksanakan inisiatif tanpa beg plastik ialah Pulau Pinang, Perak dan Melaka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-