Monday, July 9, 2018

Bubar Biro Tatanegara tak lama lagi, kata Syed Saddiq

Bernama | July 9, 2018

Menteri belia dan sukan itu berkata, kerajaan tidak mahu BTN dan akan memansuhkannya dalam tempoh terdekat.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga berkata, beliau komited terhadap cadangan usia layak mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Biro Tatanegara (BTN) akan dimansuhkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Kita tidak mahu BTN, ia akan dimansuhkan,” katanya pada forum “Perubahan Landskap Politik dan Aspirasi Belia” di Universiti Sunway di sini, hari ini.

Syed Saddiq mengulas langkah kerajaan menutup BTN yang dikecam pihak tertentu sejak beberapa tahun lepas kerana mendakwa biro itu digunakan untuk memupuk doktrin perkauman serta ketaksuban dan hanya menguntungkan tuan politiknya.

Menyentuh perkara lain, ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau komited terhadap cadangan usia layak mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Saya komited untuk menjadikannya suatu kenyataan dalam penggal pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sekarang.

“Kita tidak boleh memandang rendah kebijaksanaan mereka yang berusia 18 tahun dan menilai lebih tinggi kebijaksanaan mereka berusia lebih 50 tahun.”

Syed Saddiq berkata, sebaik sahaja PH mengumumkan mereka yang berusia 18 tahun layak mengundi, insentif besar akan diberi kepada parti politik untuk mendampingi kumpulan itu.

“Minda pengundi muda lebih terbuka, mereka juga terbuka kepada dialog dan forum serta berminat dengan Malaysia pelbagai kaum.”

Bagamanapun, katanya, konsep memperkenalkan identiti Malaysia dalam kalangan orang muda tidak akan tercapai, sekiranya tiada pembaharuan institusi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-