Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Tuesday, July 3, 2018

Calon speaker PKR tarik diri, dakwa ditekan DAP

Adam Abu Bakar | July 3, 2018

Siti Aishah mendakwa DAP mahu dia beri laluan kepada Datuk Ngeh Koo Ham kerana "terlalu muda" dan "kurang mahir berbahasa Inggeris".

PETALING JAYA: Senator Siti Aishah Shaik Ismail yang dicalonkan PKR untuk jawatan speaker Dewan Undangan Negeri Perak mengesahkan menarik diri dari pencalonan, mendakwa dia ditekan DAP supaya memberi laluan kepada Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Siti Aishah berkata pencalonannya dibuat atas “kefahaman” bahawa DAP “harus” memberi ruang kepada calon PKR memandangkan DAP memegang 5 jawatan exco kerajaan negeri.

Namun DAP mahukan jawatan itu dan terus melobi hingga ke hari terakhir, dengan alasan Siti Aisyah pada usia 33 “terlalu muda” untuk menjadi speaker dan “kurang mahir berbahasa Inggeris”.

“Perundingan berlaku hingga ke hari akhir semalam yang mana akhirnya saya membuat keputusan berat hati ini,” katanya.

Siti Aishah di Facebook pula mendakwa, pelbagai hujah dinyatakan kepada DAP namun parti itu berkeras dan memberi pelbagai alasan untuk menolaknya, ketua Srikandi PKR.

“Rombongan DAP yang diketuai (Adun Aulong) Nga Kor Ming mendesak dan memberi tekanan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di hospital supaya bersetuju DAP diberi tempat dan memaksa saya menarik diri.

“Kemuncaknya di kediaman menteri besar semalam di pertemuan Menteri Besar (Ahmad Faizal Azumu) bersama para Adun yang dihadiri oleh Ngeh tanpa diundang,” katanya.

Siti Aishah mendakwa dia turut ditekan bekas menteri besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Amanah) supaya menarik diri dan menyokong Ngeh, 57.

Pelantikan Ngeh sebagai speaker DUN Perak disempurnakan hari ini. Nama Ahli Parlimen itu dicadangkan Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari (DAP), dan disokong Adun Pasir Panjang Yahaya Mat Nor (Amanah).

Ngeh terpilih dengan 31 undi, mengatasi 2 calon lain iaitu bekas timbalan speaker Datuk Nasaruddin Hashim yang dicalonkan Barisan Nasional (25 undi) dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Misbahul Munir Masduki (3 undi).

Media melaporkan Setiausaha DUN Kamarulariffin Ayub enggan mendedahkan “calon ke-4” daripada kerajaan walaupun diminta oleh Adun Pengkalan Baru Datuk Abdul Manaf Hashim.