Saturday, July 21, 2018

Guan Eng digesa bersikap jujur mengenai subsidi minyak

Robin Augustin
July 21, 2018

Pemuda Umno ragu sama ada peruntukan RM3 bilion subsidi minyak mencukupi, sedangkan Rafizi Ramli berkata sebanyak RM1.4 bilion telah dibelanjakan untuk tujuan itu.
Shahril Hamdan berkata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini memaklumkan RM3 bilion diperuntukkan untuk tujuan subsidi minyak hingga hujung tahun ini.

PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa Kementerian Kewangan menjelaskan jumlah wang yang telah dibelanjakan untuk subsidi minyak selepas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata kerajaan membelanjakan RM1.4 bilion bagi mengekalkan harga mintak RON95 dan diesel.

Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan berkata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini memaklumkan RM3 bilion diperuntukkan untuk tujuan subsidi minyak hingga hujung tahun ini.

Bagaimanapun angka RM1.4 bilion disebut Rafizi itu telah mencecah hampir separuh peruntukan RM3 bilion yang disediakan.

Shahril menggesa Kementerian Kewangan segera menjawab persoalan itu dan “bersikap jujur” berhubung jumlah sebenar yang telah dibelanjakan.

“Jika RM3 bilion tidak mencukupi, apakah mereka akan menambah peruntukan subsidi atau menaikkan harga minyak,” katanya.

Pakar ekonomi, Firdaos Rosli dari Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa berkata, beliau percaya kerajaan mampu membayar subsidi untuk tempoh 6 bulan lagi.

Belanjawan 2018 didasarkan pada harga minyak mentah AS$55 satu tong, tetapi harga semasa sekarang ialah AS$72 satu tong.

Bagaimanapun katanya, meneruskan mekanisme subsidi sekarang akan memberi kesan ke atas pertumbuhan pada tahun-tahun akan datang.

“Harga minyak berubah-ubah setiap hari, jadi kerajaan perlu campur tangan secara aktif bagi mengekalkan harga. Persoalannya ialah tingkat harga mana yang perlu distabilkan oleh kerajaan selepas 1 Januari tahun depan dan berapa lamakah harga itu boleh dipertahankan?.”

Firdaos berkata, beliau percaya harga minyak perlu ditentukan oleh kuasa pasaran.

Bagaimanapun sekiranya kerajaan mahu memberi subsidi minyak, “maka ia memerlukan mekanisme baru bagi memastikan mereka yang memerlukan subsidi itu memperolehinya. Subsidi umum seperti sekarang bermakna kerajaan juga memberi subsidi kepada orang kaya.”

Selepas pilihan raya 9 Mei lepas, kerajaan Pakatan Harapan menetapkan harga RON95 dan diesel masing-masing pada RM2.20 dan RM2.18, manakala harga RON97 ditetapkan dengan menggunakan mekanisme apungan harga mingguan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-