Wednesday, July 11, 2018

Jho Low tinggalkan Macau - KPN

Sinar Harian |Julai 11, 2018 10:27 MYT
   
Mohamad Fuzi berkata, lokasi terbaru Jho Low setakat ini belum dapat dipastikan lagi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low dipercayai telah meninggalkan Macau tanpa diketahui lokasi terbarunya.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan perkara itu melalui emel yang diterima daripada pihak berkuasa Macau.

“Emel itu memaklumkan bahawa Jho Low telah meninggalkan Macau dan pergi ke destinasi yang tidak disebutkan,” katanya dalam sidang media selepas Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis Ke-211, di Bukit Aman, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin.

Mengulas lanjut ketika ditanya pemberita lokasi terbaru Jho Low, Mohamad Fuzi berkata, perkara itu belum dapat dipastikan lagi.

“Pada Jun lalu, dia (Jho Low) berada di Hong Kong dan kita telah hantar pegawai kita ke sana, tapi dia telah meninggalkan negara itu sebelum ke Macau.

"Kemudian, dua hari lalu kita terima emel beritahu dia telah tinggalkan Macau,” katanya.

Jelasnya, notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) telah dikeluarkan untuk beliau (Low) dan harap itu memadai untuk negara berkenaan memberi maklum balas bagi mengesan di mana beliau berada.

5 Julai lalu, polis mengesahkan Jho Low yang sedang diburu berhubung siasatan skandal 1MDB sudah melarikan diri ke Macau.

BACA: Tunggu 'lampu hijau' dari Macau sebelum cekup Jho Low

BACA: SPRM buat pemeriksaan di rumah dipercayai milik Jho Low

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Jho Low dipercayai menggunakan pasport negara lain pada masa ini selepas Jabatan Imigresen Malaysia membatalkan pasportnya pada 15 Jun lepas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-