Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, July 5, 2018

Kes Najib: Pas pegang prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan

Zaain Zin
05 Julai 2018 8:40 AM

Datuk Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU 5 Julai - Proses keadilan dan pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dilaksanakan berasaskan prinsip seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya berpegang teguh kepada prinsip itu dan mengamalkan ‘amar makruf nahi mungkar’ dalam semua aspek kehidupan sama ada atas kapasiti individu, kumpulan, masyarakat dan juga kerajaan.

Katanya, usaha itu hanya boleh dijayakan menerusi proses keadilan berteraskan kepada kedaulatan undang- undang (rule of law) serta ketinggian sistem nilai selain perlu melibatkan semua institusi serta entiti perundangan sama ada mahkamah, pendakwaan, pembelaan serta institusi masyarakat awam termasuk media.

“Dalam konteks pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Pas berharap perkara ini hanya bertujuan untuk mencapai matlamat tadi yang dan tidak boleh dikompromi bagi tujuan atau kepentingan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Takiyuddin, Pas berharap proses keadilan terhadap Najib akan berjalan mengikut lunas undang-undang serta dihormati, dipatuhi dan dipertahankan oleh semua pihak bagi memastikan keadilan diberi kepada semua, terutama pihak yang dituduh, pihak yang berkepentingan langsung, masyarakat serta negara amnya.

“Walau apa keputusan bakal diperolehi dalam proses perundangan yang sedang berjalan, Pas berharap ia dapat menyumbang secara positif kepada keutuhan, pembaikan dan kematangan kehidupan bermasyarakat, selain meningkatkan mutu kewarganegaraan dan keperibadian rakyat,” katanya. 

- UTUSAN ONLINE

© Utusan Melayu (M) Bhd