Friday, July 20, 2018

Kitingan gesa kerajaan tetapkan tarikh bayar 20% royalti minyak

Robin Augustin | July 20, 2018

Manakala seorang pejuang hak negeri Sabah persoal sama ada kerajaan akan membayar royalti atau memberi keuntungan yang diperoleh Petronas.
Jeffrey Kitingan

PETALING JAYA: Ahli politik pembangkang Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan mencadangkan 2 tarikh bagi kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifestonya untuk membayar 20% royalti kepada Sabah dan negeri pengeluar minyak yang lain.

Presiden Solidariti Tanah Airku (STAR) itu mencadangkan 1 September atau 1 Januari sebagai tarikh royalti minyak perlu dibayar, dan menggesa sekutu PH, Parti Warisan Sabah (Warisan) bersetuju dengan tarikh tersebut.

Bagaimanapun, seorang pejuang hak negeri itu mempersoalkan sama ada kerajaan persekutuan akan membayar royalti atau memberi keuntungan yang diperoleh syarikat minyak negara, Petronas.
Zainnal Ajamain
Zainnal Ajamain, yang banyak menulis berkenaan Perjanjian Malaysia 1963, membangkitkan kebimbangannya terhadap kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pemberian 20% berdasarkan keuntungan.

“Jika ia berdasarkan keuntungan, maka itu bukan royalti. Royalti bermakna kita pemilik sumber itu, yang mana ia jelas dan mencerminkan nilai sumber kita. Jika ia keuntungan, itu bayaran tunai dan ia bertentangan dengan janji PH untuk 20% royalti minyak.”

Cadangan Kitingan berkenaan tarikh akhir penyerahan royalti dibangkitkan di Dewan Rakyat semalam oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff. Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak memberikan jawapan pasti.

Kitingan yang juga ahli parlimen Keningau, berkata penetapan tarikh akhir adalah penting bagi perancangan kewangan negeri pengeluar minyak kerana mereka perlu tahu bila wang itu akan disalurkan, katanya.

Beliau memberitahu FMT, ahli Kabinet daripada Warisan juga harus membangkitkan isu berkenaan langkah oleh Petronas untuk mencari pemilikan eksklusif ke atas semua sumber minyak dan gas di negara ini, termasuk Sabah dan Sarawak.

Semasa dihubungi, Timbalan Presiden Warisan yang juga menteri persekutuan Darell Leiking berkata Warisan akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada kerajaan yang diketuai PH.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-