Friday, July 6, 2018

Liew calon timbalan menteri pertahanan, tingkat profil bukan Melayu

FMT Reporters | July 6, 2018

Pakar strategi DAP itu hampir pasti dijadikan timbalan menteri pertahanan selepas diangkat menjadi senator, menurut sumber FMT.

KUALA LUMPUR: Pakar strategi DAP, Liew Chin Tong, dikatakan calon untuk jawatan timbalan menteri pertahanan dalam satu langkah strategi yang diharapkan oleh pihak tentera dapat memecahkan imej satu kaum angkatan itu.

Pelantikannya dijangka berlaku dalam beberapa minggu selepas dilantik menjadi senator, dan selepas kerajaan persekutuan Pakatan Harapan mempertahankan pelantikan orang-orang bukan Melayu ke jawatan kanan kerajaan yang sekian lama dipegang orang Melayu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas bermesyuarat dengan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan hari ini, mengesahkan individu yang akan diantik menjadi timbalan menteri pertahanan bukan seorang wakil rakyat.

“Kita perlu lantik orang itu menjadi senator terlebih dahulu,” katanya.

Liew enggan mengesahkan atau menafikan ketika ditanya adakah dia maklum akan pelantikannya sebagai timbalan kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“Tiada komen,” katanya kepada FMT.

Pelantikannya ke portfoli yang akan menyelia angkatan tentera yang sebahagiannya dianggotai orang Melayu mungkin tidak akan menyaksikan bantahan seperti yang menyusuli pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dan Tommy Thomas sebagai peguam negara.

Sumber tentera memberitahu FMT pelantikan Liew itu akan sangat membantu angkatan tentera yang “bersusah payah untuk mengatasi imej pertubuhan satu kaum itu.”

“Mungkin dengan pelantikan seorang bukan Melayu ke jawatan itu, ia akan mengalakkan lebih banyak penyertaan daripada masyarakat lain ke dalam angkatan tentera.”

“Kami gagal menarik penyertaan mereka selepas semua usaha yang kita lakukan,” kata pegawai di unit perisikan tentera darat.

Dia bercakap kepada FMT dengan syarat namanya dirahsiakan.

Bulan lepas, Istana Negara menepis laporan Yang di-Pertuan Agong keberatan memberi persetujuan kepada pelantikan Tommy di tengah-tengah kritikan peguam itu tidak layak kerana penguasaan Bahasa Melayu yang lemah serta latar belakang etnik.

Liew mengetuai Biro Pendidikan Politik DAP dan juga ketua DAP Johor. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Kluang tetapi antara sebilangan pemimpin kanan yang gagal memenangi kerusi pada pilihan raya umum 9 Mei.

Beliau tewas di Ayer Hitam di tangan Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong, bekas timbalan menteri pertahanan, yang menang dengan majoriti 300 undi. Liew mengemukakan petisyen untuk mencabar keputusan itu.

Pada tahun lepas angkatan tentera, yang sebahagian besar dianggotai orang Melayu, mengumumkan rancangan untuk meningkatkan penyertaan orang bukan Melayu sebanyak 10% setiap tahun.

Langkah itu disokong kumpulan veteran lantang, Persatuan Patriot Kebangsaan, yang berkata orang bukan Melayu dan bukan Islam keberatan kerana ada pembahagian mengikut garis etnik yang jelas dalam angkatan tentera.

Presiden Patriot, Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji ketika itu berkata dasar tindakan afirmatif yang memihak kepada orang Melayu sudah menjejaskan pentadbiran tentera, menyebabkan ramai orang bukan Melayu “rasa tidak disenangi”.

“Mereka membuatkan individu-individu berkenaan rasa tidak penting dan tidak diingini. Sebaliknya, perasaan seperti ‘orang luar’ menyebabkan ramai rasa tidak disenangi,” kata Arshad, dan menambah semangat cintakan negara dalam kalangan orang bukan Melayu tidak pernah menjadi isu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-