Wednesday, July 4, 2018

Mahkamah KL jadi tumpuan, Najib bekas PM pertama hadapi dakwaan jenayah

Bernama | July 4, 2018
Najib Razak dijangka hadapi lebih 10 pertuduhan pecah amanah dikaitkan dengan kes SRC International di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Media mula berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah KL pagi ini.

KUALA LUMPUR: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta menjadi tumpuan pagi ini kerana bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka didakwa berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadinya dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Najib, yang akan mencecah usia 65 tahun pada 23 Julai ini, dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 2.

Beliau dijangka menghadapi lebih 10 tuduhan pecah amanah oleh seorang petugas awam atau ejen yang dikaitkan dengan kes SRC International di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 2 tahun dan tidak lebih 20 tahun, berserta sebatan dan boleh dikenakan denda.

Tommy Thomas akan muncul buat kali pertama dengan tugas barunya sebagai peguam negara dalam kes terhadap Najib.

Peguam bela terkemuka itu akan mengetuai pasukan pendakwa.

Difahamkan kes itu akan disebut di depan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan, Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di depan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Tuduhan itu dijangka dibacakan kepada Najib di Mahkamah Sesyen dan tidak ada pengakuan akan direkodkan daripada beliau. Pengakuan hanya direkodkan apabila kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di aras 4.

Dalam kalangan 6 bekas perdana menteri Malaysia, Najib adalah yang pertama menghadapi dakwaan jenayah.

Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 2.35 petang semalam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan SRC International.

Bekas perdana menteri itu hadir ke ibu pejabat SPRM 2 kali pada 22 dan 24 Mei lalu bagi merekodkan keterangan berhubung kes SRC International.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-