Thursday, July 5, 2018

Mahkamah tolak ikat jamin selepas Jamal mengaku tidak bersalah

Ho Kit Yen | July 5, 2018

Jika disabitkan kesalahan, ketua Umno Sungai Besar itu akan berdepan penjara maksimum 2 tahun atau denda kerana lari daripada tahanan polis.
Jamal Yunos tersenyum lebar kepada wartawan dan jurugambar yang mengambil gambarnya. (Gambar Bernama)

AMPANG: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos, yang bersembunyi dari pihak berkuasa sejak Mei lalu, dibicarakan di Mahkamah Majistret hari ini kerana lari daripada tahanan polis.

Jamal didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari tahanan polis pada 25 Mei di sebuah hospital swasta semasa dalam proses dokumentasi jaminan bagi beberapa pertuduhan jenayah terhadapnya.

Jika disabitkan kesalahan, Jamal akan berdepan penjara maksimum 2 tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Awal hari ini, Jamal dibawa ke kompleks mahkamah Ampang kira-kira pukul 4.00 petang, selepas tiba dari Indonesia di mana beliau ditahan ketika sedang menggunting rambut di Jakarta selatan, Isnin lalu.

Beliau kelihatan bersemangat dan tersenyum lebar kepada wartawan dan jurugambar yang mengambil gambarnya.

Beliau dibicarakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap Jamal atas alasan dia mungkin mengelak membayar jaminan sekali lagi. Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 Julai ini.

Jamal diwakili peguam Khairul Annuar manakala timbalan pendakwa raya Razali Che Ani mewakili pendakwaan.

Khairul meminta mahkamah membenarkan ikat jamin, sambil menambah Jamal tidak mempunyai niat mengelak daripada membayar ikat jamin dan ia adalah salah faham antara beliau dan peguamnya yang mengendalikan proses jaminan sebelum ini.

Bagaimanapun, Razali menolak permohonan itu, mengatakan Jamal melarikan diri 2 bulan lalu dan beliau mungkin melarikan diri sekali lagi jika beliau diikat jamin.

Sebelum ini dilaporkan Jamal melarikan diri dari tahanan polis pada 25 Mei selepas dia didakwa melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor tahun lepas.

Selepas melarikan diri, beliau menyiarkan beberapa rakaman video di media sosialnya tetapi pasukan perundangannya tidak mengetahui lokasi persembunyiannya. Dalam salah satu video yang dirakam di ladang sawit, beliau mendakwa beliau diganggu oleh mereka yang “mengarahkan polis menyasarkannya dengan cara apa sekalipun”.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-