Thursday, July 5, 2018

Najib: Saya hormat kerja cemerlang Zeti tapi dia tahu pasal RM2.6b


Datuk Seri Najib Razak tetap mengatakan bahawa bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tahu tentang RM2.6 bilion yang dipindahkan ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri itu menjelang pilihan raya umum 2013.

"Saya hormat dengan kerja cemerlang Zeti sebagai gabenor Bank Negara ketika saya menjadi perdana menteri.

"Namun saya tetap mengatakan bahawa beliau maklum tentang derma luar yang mahu didepositkan ke dalam akan saya dan dia tahu tentang derma yang didepositkan ketika itu.

"Terpulang kepada beliau jika mahu mengatakan bahawa sebagai gabenor Bank Negara ketika itu, beliau tidak tahu tentang wang dari luar negara didepositkan ke dalam akaun saya pada 2013, yang mana saya pulangkan hampir kesemuanya kepada sumber sama beberapa bulan kemudian," kata Najib kepada Malaysiakini petang tadi.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini Selasa lalu, Zeti menafikan mengetahui tentang pemindahan wang itu ke dalam akaun Najib.

"Saya ingin menyatakan bahawa dakwaan ini adalah salah. Saya tidak mempunyai pengetahuan tentang RM2.6 bilion yang dipindahkan ke akaunnya," katanya.

Zeti juga mendakwa bahawa pada 3 Julai 2015, beliau dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya apabila skandal itu meletus.

"Dia meminta saya untuk mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung akaunnya itu.

"Saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai urusan dalam akaunnya," katanya.

Zeti, yang meletakkan jawatan pada 2016 selepas berkhidmat sebagai gabenor Bank Negara selama 16 tahun, mengulas kenyataan Najin dalam wawancara khas dengan Malaysiakini sebelum ini.

"Jika Bank Negara tahu tentang dana ini, dan mereka ada bayangan atau pengetahuan bahawa mungkin akan ada keraguan tentang sumbernya, mereka patut beritahu saya.

"Tetapi ia tidak berlaku. Jadi saya menyangka ia tiada masalah," katanya dalam wawancara itu.

Ditanya semula sama ada Zeti tidak memberi sebarang halangan, Najib menjawab: "Tiada balasan daripada Bank Negara. Saya anggap semua baik."

Najib sebelum ini dilaporkan memberitahu pemimpin Umno bahawa beliau mempunyai dokumen daripada Bank Negara tentang pemindahan wang itu.

Bekas perdana menteri konsisten menyatakan bahawa RM2.6 bilion merupakan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi sementara Jabatan Kehakiman AS mendakwa wang itu merupakan sebahagian dana 1MDB.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-