Sunday, July 1, 2018

Najib: Saya pernah beri amaran Melayu ‘bangsat’ di bawah PH

FMT Reporters | June 30, 2018

Bekas presiden Umno itu berkata, kerajaan PH mendapat sokongan daripada orang bukan Melayu.
Datuk Seri Najib Razak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan satu siri serangan ke atas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan mendakwa ia mengetepikan agama Islam dan bahasa Melayu.

Dalam gesaan kepada ahli Umno untuk bersatu susulan pemilihan parti yang menyaksikan bekas timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memenangi jawatan tertinggi parti, Najib berkata, orang Melayu tidak boleh mengharapkan kerajaan baru yang “kekuatannya datang daripada sokongan orang bukan Melayu”.

“Setakat ini, kerajaan PH mengizinkan pencabulan Bahasa Melayu, agenda Islam dan Bumiputera juga tidak akan mendapat tempat utama dalam pentadbiran mereka.

“Saya pernah sebut Melayu akan terbangsat di negara sendiri jika Umno hilang kuasa. Kita sudah terlepas kuasa dan mesti tabah hadapi ujian Allah,” tulisnya dalam Facebooknya malam ini.

Beliau merujuk ucapannya dalam Perhimpunan Agung Umno Disember tahun lalu, di mana beliau berkata, orang Melayu akan kehilangan hak istimewa mereka jika pembangkang berkuasa.

Pertandingan jawatan presiden Umno hari ini menyaksikan Zahid mendapat kemenangan selesa, meninggalkan pencabar terdekatnya, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula diumumkan sebagai timbalan presiden Umno, mengalahkan bekas ketua penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid pula memenangi jawatan naib presiden, manakala 25 calon menganggotai Majlis Tertinggi Umno.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-