Thursday, July 19, 2018

'Pemimpin HARAPAN masih gagal buang DNA pembangkang'


Tindakan Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh yang menggelar Pemuda Umno sebagai samseng dan "sikap memberontak" ketika persidangan Dewan Rakyat semalam melambangkan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) itu masih gagal membuang DNA pembangkang dalam dirinya, kata Ketua Penerangan Pemuda Umno Mohd Shahar Abdullah.

Menyifatkan tindakan Ramkarpal sebagai menghina Dewan Rakuat, Mohd Shahar menggesa tindakan lebih tegas diambil ke atas pemimpin DAP itu.

"Ini juga melambangkan mentaliti dan tahap kematangan Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan itu yang masih gagal membuang ‘DNA’ pembangkang dalam dirinya apabila masih memainkan sentimen melabel parti lawan dan sikap ‘memberontak’ yang ditunjukkan langsung tidak menggambarkan diri mereka sebagai sebuah kerajaan di dalam dewan yang mulia itu," katanya dalam kenyataan media.

Moha Shahar turut memuji tindakan speaker Dewan Rakyat dengan menyifatkannya sebagai 'penuh perofesional' apabila mengarahkan Ramkarpal keluar dari dewan.

"Ini penting bagi memastikan anggota Dewan Rakyat yang lain sentiasa menghormati persidangan yang sedang berlangsung," katanya.

Kekecohan terjadi dalam perbahasan parlimen semalam selepas Ramkarpal menggelar Pemuda Umno sebagai "samseng" ketika mengingatkan kejadian sembilan tahun lalu apabila mendiang ayahnya, yang juga anggota parlimen DAP, dikepung oleh Pemuda Umno di luar parlimen.

Ramkarpal berkata demikian sebagai mengingatkan agar anggota parlimen BN yang kini menjadi pembangkang menjaga kelakuan mereka.

Anggota parlimen BN yang berang dengan kenyataan Ramkarpal itu kemudian membantah dan terjadi jerit-menjerit di dalam dewan dengan Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin melemparkan gelaran serupa kepada pemimpin HARAPAN.

Susulan itu, Speaker Datuk Mohamad Ariff Yusof mengarahkan Ramkarpal dan Bung Moktar menarik semula kenyataan mereka.

Ramkarpal kemudian memohon maaf namun enggan menarik kenyataannya yang menyebabkannya menjadi anggota parlimen pertama diarahkan keluar dewan.

Bung Moktar dibenarkan duduk selepas menarik kenyataannya.

Mengulas lanjut, Mohd Shahar menyifatkan Ramkarpal sebagai angkuh dan tidak menghormati parlimen serta Dewan Rakyat kerana enggan menarik balik kenyataannya selepas diarahkan speaker.

"Tindakan Ramkarpal jelas menunjukkan bagaimana beliau langsung tidak menghormati institusi parlimen dan kedudukan speaker Dewan Rakyat yang dipilih oleh parti mereka sendiri.

"Pergerakan Pemuda Umno menggesa Ramkarpal untuk menjadi seorang anggota parlimen yang bertanggungjawab dan berhati besar untuk memohon maaf atas tindakan yang menghina institusi mulia ini.

"Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, adalah amat wajar untuk dikenakan tindakan tegas," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-