Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Tuesday, July 3, 2018

Pemimpin Umno ajak solidariti untuk Najib malam ini


Presiden NGO Pemantau Malaysia Baru Datuk Lokman Noor Adam, yang juga merupakan anggota Majlis Tertinggi Umno menjemput orang ramai hadir bersolidariti untuk memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi.

Melalui kenyataan hari ini, Lokman yang menyifatkan penangkapan Najib sebagai "penganiayaan" mengajak orang ramai hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pukul 9 malam ini.

"Cukup-cukuplah dengan politik balas dendam Pakatan Harapan (HARAPAN) ini. Rakyat bukan bodoh, kami tahu sandiwara ini semua bagi mengalih perhatian rakyat daripada membicarakan soal kegagalan HARAPAN melaksanakan semua janji manis mereka.

"Mari kita korbankan masa kita untuk turun ke Ibu Pejabat SPRM, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya, sebagai tanda solidariti kita kepada Dato Sri Najib dan rasa kecewa kita kepada pemerintah yang zalim," katanya.

Lokman turut berkata, pihaknya percaya Najib tidak akan didakwa atas tuduhan menyeleweng dana 1MDB dan ia merupakan "kemenangan besar" kepada bekas presiden Umno itu.

"Adalah dipercayai beliau (Najib) tidak akan dituduh kerana mencuri duit 1MDB sepertimana fitnah yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga HARAPAN berjaya menumbangkan BN pada PRU14 lalu.

"Sebaliknya, beliau dijangka akan didakwa di bawah kesalahan lain seperti Akta Pengubahan Wang Haram (Amla).
"Sekiranya beliau tidak didakwa mencuri duit 1MDB sepertimana tuduhan Dr Mahathir, ini merupakan kemenangan besar bagi Najib.

"Ini juga membuktikan bahawa tuduhan Tan Sri Ghani Patail, bekas peguam negara dipecat kerana sudah menyediakan kertas pendakwaan ke atas Najib kerana mencuri duit 1MDB adalah tidak benar sama sekali.

"Jika 2015 sudah wujud kertas pertuduhan yang berasaskan bukti, SPRM sudah pasti tidak memerlukan hampir dua bulan untuk menyediakan kertas pendakwaan," katanya.

Politik balas dendam

Selain itu, Lokman turut mempersoalkan keperluan SPRM menahan Najib dan sama ada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull menyimpan dendam terhadap bekas perdana menteri itu.

"Adakah beliau penjenayah yang ingin melarikan diri dari proses perundangan? Bukankah sebelum ini beliau memberikan kerjasama penuh untuk hadir ke SPRM tanpa sebarang masalah?

"Tidak bolehkah cara yang sama digunakan oleh SPRM untuk mengundang Najib ke mahkamah bagi proses pendakwaan? Bolehkah ini dijadikan bukti bagi menunjukkan Mohd Shukri masih lagi menaruh dendam dengan Najib sepertimana dakwaan beliau sendiri dalam sidang medianya yang pertama?

"Adakah ini rule of law yang dilaungkan? Kenapa sehingga kini tidak ada sebarang tindakan ke atas laporan polis saya terhadap Mohd Shukri yang jelas telah membuat pengakuan secara live di kaca TV bahawa beliau telah gagal melaporkan dua cubaan merasuah beliau oleh seorang ahli parlimen berhubung kes 1MDB ini?," katanya.

Wanita Umno adakan solat hajat

Dalam kenyataan media berasingan, Wanita Umno mengumumkan akan mengadakan solat hajat di semua 191 bahagian parti tersebut bagi mendoakan keselamatan dan keadilan buat bekas presiden parti mereka.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad menyatakan rasa dukacita dengan penangkapan tersebut dan mendesak supaya bekas bekas pengerusi BN itu dibicarakan secara adil dan telus oleh pihak berkuasa.

“Sebagai seorang rakyat yang telah banyak berjasa kepada negara, Wanita Umno mendesak supaya beliau diberikan hak sepenuhnya kepada perbicaraan yang telus, adil dan diberi layanan yang seharusnya dalam proses penahanan dan pendakwaan.

Petang tadi, SPRM megesahkan penangkapan Najib di rumah kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Pasukan Petugas Khas 1MDB yang turut mengesahkan perkara itu memaklumkan Najib akan didakwa pagi esok di Mahkamah Kuala Lumpur.