Monday, July 9, 2018

Pemuda PKR harap Anwar tanding presiden


Pemuda PKR berharap Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding bagi jawatan presiden bagi pemilihan parti akan datang.

Ketuanya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini kerana Anwar mampu membawa parti itu ke tahap lebih tinggi.

"Selepas 20 tahun reformasi, PKR dan pemilihan (parti) 2018 mempunyai peluang luar biasa dan bersejarah untuk menjadi parti progresif dan berbilang kaum yang paling berjaya di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai presiden, Nik Nazmi berkata, Anwar akan disokong sebuah pasukan yang muda, dinamik dan majmuk.

Katanya lagi, ia juga akan memberi kepastian kepada semua pihak - anggota, penyokong, parti komponen dan orang ramai - bahawa 'Malaysia Baru' sedang dibina.

Semalam, Datuk Seri Dr Wan Azizah dilaporkan menyatakan kesediaannya untuk berundur sebagai presiden jika suaminya itu memutuskan untuk bertanding dalam pemilihan parti yang akan bermula hujung Ogos ini.

Bagaimanapun, setiausaha agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata ada pihak dalam parti yang merasakan Wan Azizah perlu diberi penghormatan untuk terus memegang jawatan itu bagi penggal kedua - penggal terakhir - selepas membawa parti mencapai kejayaan pada PRU lalu sehingga menjadi blok terbesar dalam HARAPAN.

Nik Nazmi menyatakan penghargaan ke atas kesediaan Wan Azizah untuk melepaskan kerusi presiden.

"Kami berterima kasih atas kesediaannya meletakkan kepentingan negara dan parti sebelum diri sendiri. Beliau telah melakar sejarah bukan saja sebagai timbalan perdana menteri pertama, tetapi perintis bagi wanita Malaysia dalam politik," katanya yang juga anggota parlimen Titiwangsa.

Sebelum ini Anwar pernah dua kali cuba bertanding jawatan presiden namun terpaksa menarik diri ekoran kekangan undang-undang.

Pertama pada 2007 ketika beliau masih dalam tempoh larangan memegang jawatan politik selama lima tahun selepas tamat hukuman penjara pada 2004, kali kedua pada 2014 namun sekali lagi terpaksa membatalkan pencalonan selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman bersalah dalam kes Liwat II.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-