Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, July 4, 2018

Penyokong Najib laung lawan tetap lawan, undur DAP

Faisal Asyraf | Diterbitkan 3 Jul 2018, 10:36 malam


Kira-kira 50 hadir di luar bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya malam ini bagi menunjukkan sokongan kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini dalam tahanan agensi itu.

NGO yang menggelarkan diri mereka sebagai Pemantau Malaysia Baru mengetuai penyokong Najib melaungkan slogan 'Hidup Najib dan 'Tangkap Mahathir'.

Mereka juga didengar melaungkan slogan 'lawan tetap lawan' dan 'undur DAP'.

Slogan 'lawan tetap lawan' digunakan ketika gerakan Reformasi pada 1998 yang dicetuskan oleh pemecatan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden NGO itu, Datuk Lokman Noor Adam yang juga merupakan anggota Majlis Tertinggi Umno, selain bekas panel pemikir Jawatankuasa Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz.

Hadirin mula berkumpul sekitar 8.30 malam tadi dan dijangka bersurai 11 malam nanti.

Berucap kepada hadirin dan media, Tun Faisal mempersoalkan penahanan Najib yang disifatkannya sebagai tidak adil.

"Siapa yang beri kuasa kepada Pasukan Petugas Khas 1MDB untuk menahan Najib? Hari ini mereka keluarkan arahan untuk tangkap Najib.

"Sepatutnya SPRM yang keluarkan arahan. Majlis Peguam mana? Suhakam mana? Semua senyap. Mana aktivis (hak asasi)?" katanya.

Lokman turut menyifatkan penahanan Najib bertujuan melemahkan semangat bekas perdana menteri itu.

"Kedaulatan undang-undang ditukar menjadi undang-undang rimba. Beliau memberikan kerjasama penuh kepada SPRM. Perlukah beliau ditahan? Untuk apa?

"Ini untuk melemahkan semangat beliau. Untuk buat beliau putus asa. Tapi Najib kekal kuat," katanya.

Sepasukan anggota polis turut dilihat hadir memantau situasi.

[Baca berita penuh]